BAJC: Malaysia melangkah ke separuh akhir

Bernama
Julai 1, 2024 10:10 MYT
Pemain perseorangan lelaki Muhammad Faiq Masawi mencetus kebangkitan cemerlang untuk pasukan negara apabila menang menentang Pranay Shettigar.- Foto FB BAM
KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya kembali ke separuh akhir Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) selepas melakukannya pada edisi 2018 setelah menewaskan India 3-2 pada peringkat suku akhir di Yogyakarta, Indonesia hari ini.
Pasukan negara memulakan kempen hari ini dengan kurang memberangsangkan apabila pasangan beregu campuran Kang Khai Xing-Aqilah Ramdan tumbang kepada Sanskar Saraswat-Shravani Walekar 16-21, 21-13, 17-21 dan seterusnya India melebarkan kelebihan mereka menerusi pemain perseorangan wanita Tanvi Sharm yang menewaskan Siti Zulaikha Azmi 21-15, 15-21, 22-20.
Bagaimanapun, pemain perseorangan lelaki Muhammad Faiq Masawi mencetus kebangkitan cemerlang untuk pasukan negara apabila menang menentang Pranay Shettigar 15-21, 21-18, 21-19 sebelum beregu wanita Ong Xin Yee-Carmen Ting menyamakan kedudukan untuk Malaysia dengan mengatasi Navya Kanderi-Shravani Walekar 21-16, 21-15.
Khai Xing, yang kembali ke gelanggang, kali ini berpasangan dengan Aaron Tai dalam kategori beregu lelaki menjadi wira Malaysia apabila mereka menewaskan Bhargav Ram Arigela-Arsh Mohammad 21-18, 21-10 untuk mengesahkan tempat di separuh akhir.
Malaysia akan menentang China selepas juara lapan kali itu menumbangkan Taiwan 3-0 awal hari ini.
Tahun lepas, skuad negara gagal melepasi peringkat suku akhir setelah tewas 0-3 kepada Thailand, juga di Yogyakarta.
Kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam acara berpasukan campuran ialah pada 2018 apabila meraih gangsa pada kejohanan di Jakarta.
-- BERNAMA
#Kejohanan Badminton Remaja Asia #Malaysia ke separuh akhir #tewaskan India #Yogyakarta