Bahaya apabila Lukaku berdendam...
Astro Arena
Februari 22, 2022 12:50 MYT
Februari 22, 2022 12:50 MYT
Kontroversi yang melanda Romelu Lukaku bermula pada awal tahun ini susulan satu sesi temu bual bersama stesen televisyen Itali, Sky Italia.
Dalam temu bual itu, Lukaku seakan-akan meratapi nasibnya yang seolah-olah sedang menderita bersama Chelsea dan merindukan kelab lamanya, Inter Milan.
"Saya menghabiskan tempoh dua tahun bekerja keras bersama jurulatih dan pakar nutrisi di Inter. Disebabkan itulah saya berada dalam keadaan fizikal yang cukup sihat sekarang.
"Saya cuma kurang gembira dengan situasi terkini tetapi ini satu perkara normal.
"Pengurus (Thomas Tuchel) memutuskan untuk menggunakan formasi yang tidak biasa saya mainkan tetapi saya harus profesional untuk menghadapinya.
"Saya tidak gembira tetapi saya harus menjalankan tugas saya."
Lukaku kemudian meluahkan rasa kesalnya terhadap penyokong Inter kerana meninggalkan mereka dan dipetik sebagai berkata: "Satu hari nanti saya akan kembali bersama Inter.
"Bukan sewaktu saya berada di penghujung kerjaya tetapi apabila saya masih lagi mampu memenangi lebih daripada beberapa trofi."
Temu bual tersebut mengundang kemarahan penyokong Chelsea di seluruh dunia sehingga memaksa Tuchel untuk menggugurkan Lukaku daripada kesebelasan utama ketika menentang Liverpool pada minggu yang sama temu bual itu disiarkan.
Bakat dan kebolehan Lukaku tidak sesekali mampu dipertikai -- rekod jaringan miliknya lebih daripada mampu menceritakan segala-galanya.
Harus tidak dilupakan juga, dia cuma memerlukan tempoh 15 minit untuk menjaringkan gol sulungnya bersama Chelsea sewaktu menentang Arsenal pada bulan Ogos tahun lalu.
Dalam Kejohanan Kelab Dunia di Abu Dhabi minggu lalu, Lukaku menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan untuk menundukkan pasukan Al-Hilal dan Palmeiras bagi membolehkan Chelsea menjuarai pertandingan berkenaan.
Lukaku bukanlah seorang penyerang yang gagal, namun hakikatnya juga, kali terakhir Lukaku membolosi jaring lawan dalam Liga Perdana Inggeris adalah pada bulan Disember tahun lalu.
Dalam kemenangan 1-0 Chelsea ke atas Crystal Palace pada hujung minggu lalu, topik utama yang dibicarakan oleh media massa bukanlah kejayaan Chelsea tetapi persembahan Lukaku yang cuma menyentuh bola sebanyak tujuh kali sepanjang 90 minit -- satu daripada sentuhan tersebut adalah sewaktu aksi sepak mula.
Menurut akhbar The Daily Mail, Lukaku juga gagal melakukan walau satu pun percubaan ke pintu gawang lawan dan hanya melengkapkan empat hantaran secara keseluruhan.
Ada waktunya dalam perlawanan itu, Lukaku kelihatan seperti cukup tidak bermaya, malah tidak keterlaluan untuk dikatakan seperti tidak berminat untuk memburu bola.
Dalam temu bual pasca perlawanan, Tuchel mengakui yang dia mendambakan sesuatu yang lebih baik daripada penyerang utamanya itu tetapi memohon agar kesemua pihak terus bersabar.
"Saya masih percaya Lukaku akan menjaringkan lebih banyak gol pada masa akan datang tetapi semua orang perlu banyak bersabar buat masa ini.
"Pasukan kami menuntut kesungguhan daripada penyerang-penyerang kami, mungkin ada sebab tertentu di sebalik persembahannya yang agak hambar pada malam ini.
"Kami masih memerlukan lebih banyak masa untuk memahami Lukaku tetapi kami tetap percaya padanya kerana dia sudah membuktikan dirinya sebagai seseorang yang mampu menjaringkan gol untuk kami."
Sejujurnya, persembahan hambar itu tidak harus disalahkan kepada Lukaku seorang.
Hakikatnya, sejak kemenangan berturut-turut ke atas Leicester dan Juventus pada bulan November tahun lalu, persembahan Chelsea dilihat agak merudum secara keseluruhan dan mereka tidak lagi menunjukkan corak menyerang yang halus dan lancar sejak kebelakangan ini.
Selain Lukaku, persembahan Christian Pulisic dan Kai Havertz sewaktu menentang Crystal Palace juga tidaklah memberangsangkan dan pada akhirnya mereka cuma diselamatkan oleh satu sentuhan magis daripada Hakim Ziyech bagi merampas tiga mata.
Chelsea diberikan tempoh seminggu untuk berehat, namun Tuchel nampaknya masih menyalahkan faktor-faktor kesihatan dalam mempertahankan aksi pasukannya.
"Kami pulang dari satu negara yang suhunya berbeza sebanyak 30 darjah Celsius.
"Enam pemain kami selesema akibat penyaman udara yang terlalu sejuk dalam kapal terbang.
"Disebabkan suhu dan perbezaan waktu, pemain-pemain kami tidak dapat tidur dengan baik di Abu Dhabi.
"Jika anda fikir yang pasukan kami mampu untuk memulihkan diri dalam tempoh rehat seminggu yang diberikan, anda silap," ujar Tuchel lagi.
Berbalik kepada Lukaku, biarpun ada sahaja ura-ura yang mengatakan Chelsea mungkin melepaskannya jika dia terus memberikan persembahan yang tidak menepati piawaian, peluang untuk perkara itu berlaku cukup tipis.
Ia kerana yuran perpindahan yang Chelsea bayar untuk mendapatkannya bukanlah kecil dan Lukaku sendiri pastinya tidak ingin rekod kerjayanya yang cukup bersih selama ini tercalar begitu sahaja.
Namun, jendela perpindahan akan datang mungkin menyaksikan perpindahan penyerang-penyerang terbaik dunia seperti Erling Haaland, Kylian Mbappe dan Harry Kane, dengan Chelsea seringkali dikaitkan sebagai pembeli yang berpotensi.
Perjuangan Chelsea dalam mempertahankan trofi Liga Juara-Juara UEFA bersambung esok apabila menjadi tuan rumah kepada Lille OSC dalam perlawanan peringkat pertama pusingan 16.
Mungkinkah kita akan melihat sisi Lukaku yang berbeza?