Bagnaia tawan litar Sepang, hanya selangkah untuk muncul juara dunia di Valencia
Bernama
Oktober 23, 2022 06:45 MYT
Oktober 23, 2022 06:45 MYT
SEPANG: Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia, memperagakan tunggangan cemerlang untuk mencerahkan peluang merangkul kejuaraan dunia MotoGP musim ini apabila menjuarai Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2022 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini, semalam.
Pelumba Itali, selaku pendahulu kelas perdana, memulakan perlumbaan dari petak kesembilan dan mula mendahului saingan dengan baki enam pusingan sebelum melintasi garisan penamat dengan catatan 40 minit 14.332 saat (s).
Pelumba senegara, Enea Bastianini (Gresini Racing) hanya ketinggalan 0.270s untuk menduduki tempat kedua diikuti, penyandang juara dunia, Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha) dengan catan masa 40:17.105s.
Bagnaia akan dinobatkan selaku juara dunia buat kali pertama dalam kerjayanya jika dia berjaya menamatkan saingan sekurang-kurangnya di tempat ke-13 atau lebih rendah pada perlumbaan kemuncak musim 2022 di GP Valencia, Sepanyol pada 16 Nov ini.
"Pertama sekali, saya ingin mengatakan bahawa saya melakukan permulaan terbaik dalam hidup saya kerana ia adalah sempurna. Saya mengambil sedikit risiko untuk berada di kelompok utama pada selekoh pertama.
"Hari ini pasukan melaklukan tugas dengan amat baik sekali dan ini adalah kemenangan ketujuh musim ini," kata Bagnaia, yang dikenali 'Pecco' selepas perlumbaan tersebut.
Sebagai rekod, Pecco menamatkan saingan di tempat ke-12 pada edisi 2019 di sini, setahun selepas menjuarai kelas Moto2 dunia pada 2018 dengan tempat ketiga di Sepang.
Sementara itu, pelumba nombor dua dalam senarai kelas MotoGP musim ini,Quartararo, berkata beliau berasa bangga selepas kembali menaiki podium apabila menduduki tempat kedua pada GP Austria, Ogos lalu.
"Saya memberi terbaik hari ini walaupun menyedari kehilangan masa apabila memulakan saingan di petak ke-12. Bagaimanapun. kita membawa penentuan perebutan gelaran juara dunia di Valencia walaupun peluang memintas Pecco adalah tipis," kata pelumba Perancis berusia 23 tahun itu.
Sementara itu, juara dunia enam kali, Marc Marquez (Repsol Honda) menduduki tangga ketujuh selepas mencatatkan masa 40:28.636s manakala pemenang petak utama, Jorge Martin (Prima Pramac) dari Sepanyol terbabas di pusingan ketujuh.
-- BERNAMA