Bagnaia congak peluang pertahan status pendahulu

Sinar Harian
November 10, 2023 09:20 MYT
Bagnaia (kiri) menjawab soalan ketika Sesi Beramah Mesra dan Bertemu Peminat MotoGP di KLCC pada Khamis. - Foto Sinar Harian
PELUMBA Ducati Lenovo Team, Francesco Bagnaia mengintai peluang meraih mata semaksimum mungkin pada perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia 2023 di Litar Antarabangsa Sepang pada Ahad ini.
Dalam merealisasikan misinya itu, pelumba kelahiran Itali berusia 26 tahun itu berharap perlumbaan berlangsung di litar kering dengan keadaan cuaca panas.
“Jika diberi pilihan, saya lebih memilih untuk berlumba dalam keadaan cuaca tidak hujan. Saya lebih selesa berlumba di litar yang kering berbanding basah.
“Ini membolehkan saya dapat mempamerkan pecutan yang maksimum,” katanya ketika Sesi Beramah Mesra dan Bertemu Peminat MotoGP di Menara Berkembar Petronas (KLCC), Kuala Lumpur pada Khamis.
Turut hadir pelumba Prima Pramac Racing, Jorge Martin dan pelumba Mooney VR46 Racing Team, Marco Bezzecchi.
Selepas berakhirnya 17 perlumbaan musim ini, Bagnaia atau dikenali sebagai Pecco menerajui carta bagi kategori pelumba apabila mengumpul 389 mata.
Namun, pencabar terdekat Bagnaia, Martin masih berpeluang memintasnya dalam tiga baki perlumbaan termasuk GP Malaysia selepas merekodkan 376 mata. - Sinar Harian
#MotoGP #Francesco Bagnaia #Litar Antarabangsa Sepang #pelumba motosikal
;