'Bagaimana nak jual, KL Rovers bukan milik KLFA'

Sinar Harian
Februari 27, 2024 12:45 MYT
Aznor menjelaskan, kenyataan tersebut mencetuskan kekeliruan dalam kalangan bakal pelabur yang berpotensi dan penaja untuk bekerjasama dengan KL Rovers. - Gambar fail
PENGURUSAN Kuala Lumpur (KL) Rovers FC mempersoalkan hak Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) untuk menjual kelab itu sedangkan ia adalah ahli gabungan sejak tahun 2021.
Malah 100 peratus saham kelab itu dimiliki oleh sebuah syarikat sejak awal Februari lalu bukan milik KLFA.
Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Aznor Dzulkarnain Aziz berkata, proses rundingan pemilikan kelab sudah bermula Disember lalu dan dimuktamadkan bulan lepas sebelum KL Rovers memohon lesen kelab.
“Bagaimana KLFA mahu jual KL Rovers. Kelab ini adalah ahli gabungan sejak 2021, tetapi bukan milik persatuan itu.
“KL Rovers milik sebuah syarikat yang mana proses rundingan, penjualan serta pemilikan sudah berlaku sejak Disember 2023 dan dimuktamadkan Februari lalu,” katanya kepada Sukan Sinar.
Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad pada Jumaat meluahkan hasrat untuk menjual KL Rovers bagi menampung tunggakan gaji para pegawai dan pemain KL City FC selama dua bulan yang mencecah RM2 juta.
Aznor menjelaskan, kenyataan tersebut mencetuskan kekeliruan dalam kalangan bakal pelabur yang berpotensi dan penaja untuk bekerjasama dengan KL Rovers.
“Kami terbuka untuk berunding dengan mana-mana pihak yang berhajat memiliki saham syarikat.
“Ada beberapa entiti yang berminat, namun apabila timbul cerita ini, ia mencetuskan persoalan dalam kalangan pelabur berpotensi,” katanya.
Justeru Aznor menegaskan KLFA mungkin boleh menuntut kos berkaitan penggunaan secara bersama fasiliti KL City sejak 2021 yang dianggarkan berjumlah RM500,000 bukan jutaan ringgit seperti diuarkan.
Dalam pada itu, Aznor juga percaya KL Rovers mampu memperoleh Lesen Kebangsaan dari First Instance Body (FIB) untuk beraksi dalam kancah Liga Super musim baharu ini.
Tambahnya, ia berdasarkan keupayaan kewangan, perancangan strategik pasukan, penajaan, penjenamaan dan komitmen untuk menjaga kebajikan pemain.
“Pengurusan kelab memandang jauh ke depan. Mempunyai perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang buat pasukan.
“Malah selepas mendapat lesen, saya percaya nilai KL Rover mampu mencecah jutaan ringgit,” katanya. - Sinar Harian
#KL Rovers #KLFA #bukan milik KLFA #CEO
;