Bagaimana masa depan bina badan Malaysia tanpa Sazali?

Astro Arena
Februari 23, 2016 14:35 MYT
Sazali digantung oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA) berkuat kuasa 22 September lalu selepas didapati positif dalam ujian doping di luar pertandingan pada 1 September, sebelum menyertai Kejohanan Asia 2015 di Uzbekistan. - Gambar Astro ARENA
Dalam ketiadaan Mr Universe 10 kali, Sazali Samad yang digantung selama empat tahun dilihatkan sebagai satu titik kejatuhan sukan bina badan Malaysia di peringkat antarabangsa kerana tiada atlet lain yang berjaya mencapai tahap sepertinya.
Sazali digantung oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA) berkuat kuasa 22 September lalu selepas didapati positif dalam ujian doping di luar pertandingan pada 1 September, sebelum menyertai Kejohanan Asia 2015 di Tashkent, Uzbekistan.
Namun, seorang lagi atlet bina badan Malaysia bertaraf profesional, Wong Hong berpendapat masih ada lagi beberapa atlet bina badan yang mampu menggalas tanggungjawab untuk mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
"Tiada keraguan, Sazali adalah di kalangan yang terbaik di Malaysia dengan banyak kejayaan yang diraihnya. Namun, masih ada lagi beberapa bakat yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
"Antaranya adalah Mike Mahen yang memenangi pingat emas di Kejohanan Bina Badan Asia tahun lalu dalam kategori Athletics Physique dan Malvern Abdullah, yang telah memenangi tempat kedua di Kejohanan Dunia kategori bantamweight," kata Wong Hong.
Wong Hong juga memberitahu, Lilian Tan, atlet bina badan wanita Malaysia mempunyai peluang paling cerah untuk merangkul gelaran ketiganya dalam Kejohanan Bina Badan Dunia yang akan diadakan di Sao Paolo, Brazil November ini.
Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) Leftenan Komander Kamaruzaman Kadir turut yakin atlet bina badan lain masih mampu menyumbang pingat emas buat negara.
"Walaupun kami terpaksa turun tanpa Sazali Samad, saya masih yakin atlet-atlet sedia ada mampu menggalas tanggungjawab menyumbang pingat emas kepada misi negara," kata Kamaruzaman.
#Masa depan sukan bina badan Malaysia di peringkat antarabangsa #Sazali Samad #Wong Hong
;