Bagaimana Liga Perdana Inggeris musim ini patut berakhir?
Ian Johan Ariff
Mei 1, 2020 08:11 MYT
Mei 1, 2020 08:11 MYT
HARI INI, (Jumaat, 1 Mei) segala persoalan mengenai adakah musim Liga Perdana Inggeris (EPL) dapat disambung semula mungkin akan terjawab, apabila wakil dari Premier League akan bertemu dengan kerajaan United Kingdom (UK).
Ada yang mahu musim 2019/2020 dibatalkan terus tanpa sebarang pemenang dan tiada pasukan yang disingkirkan, manakala ada juga yang berpendapat Liverpool berhak dimahkotakan sebagai juara, walaupun ia terpaksa dibatalkan.
Apa pula kata penyokong Liverpool, yang juga bekas penjaga gol kebangsaan, Syed Adney Syed Hussein.
Menerusi satu sesi temubual dengan Syed Adney menerusi aplikasi persidangan video, dia berharap EPL dapat diteruskan dalam masa terdekat.
“Beberapa liga sudah dibatalkan, saya harap ia tidak berlaku di England kerana 30 tahun adalah satu penantian yang lama, (orang) seperti Keshika yang mendoakan musim ini dibatalkan.” kata Syed Adney.
Syed Adney ditemubual bersempena kempen #GirlsForGoals anjuran Women’s Aid Organisation (WAO) yang disokongnya, dengan sasaran mengumpul dana untuk membantu golongan wanita yang terpinggir akibat krisis COVID-19 di negara ini.
Keshika yang dimaksudkan adalah Keshika Subbarao, ketua jurulatih ASA KL, yang juga duta bagi WAO.
Walaupun merupakan penyokong kelab seteru utama Liverpool, Manchester United, dia pasrah dan berharap Liverpool diberikan kejuaraan.
“Bagi EPL, ia tidak memberi sebarang makna lagi buat United (Manchester), maksud saya Liverpool berada di puncak liga dengan jurang yang sangat besar, lebih baik beri sahaja kejuaraan kepada mereka.”
Liverpool mendahului liga dengan 25 mata dipisahkan dari pencabar terdekat, Manchester City yang juga juara bertahan dengan dua lagi kemenangan yang bakal mengesahkan kejuaraan milik kelab Merseyside itu buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun.
Premier League sudahpun memulakan langkah untuk memulakan kembali musim 2019/2020 selepas ia digantung pada 13 Mac apabila pengurus pasukan Arsenal, Mikel Arteta disahkan positif COVID-19.
Liga Perancis pula sudah gagal meyakinkan pihak kerajaan untuk saingan diteruskan dengan Paris St. Germain diumum sebagai pemenang, Belanda batalkan terus liga tanpa sebarang pemenang manakala liga di Belgium yang pertama membatalkan liga dan memberi kemenangan kepada Club Brugge.
Apa nasib EPL?
Semua perancangan Premier League akan dibentang kepada kerajaan UK yang dipimpin Perdana Menteri, Boris Johnson.
Premier League mahu mengelak daripada liga musim ini dibatalkan kerana bakal berdepan kerugian sekitar 1 bilion pound sterling.
Kerajaan UK juga mencari jalan bagaimana kejohanan sukan profesional boleh diteruskan jika sekatan pergerakan di sana dapat dilonggarkan.
Penasihat kesihatan Premier League, Mark Gillet dan ketua perubatan Persatuan Bola Sepak England, Charlotte Cowie juga akan hadir untuk membentangkan perancangan mereka.
Mereka berharap pasukan dapat menyambung semula latihan pada 9 Mei dan liga akan bersambung pada 27 Mei dan berakhir pada penghujung Julai.
Beberapa kelab seperti Arsenal dan Brighton sudahpun membuka kembali pusat latihan mereka untuk latihan individu diadakan.
Temubual penuh Syed Adney dan Keshika akan dimuat naik pada laman Facebook dan saluran Youtube Astro AWANI pada Sabtu, 2 Mei, di mana Syed Adney turut berbincang mengenai hak wanita dan layanan sama rata dapat diberikan kepada kaum hawa dalam sukan dan semua bidang lain.
#EPL
#Keshika Subbarao
#Liga Perdana Inggeris
#Liverpool
#Manchester City
#Manchester United
#Syed Adney Syed Hussein
#WAO