Badrul, Khairul.. jangan jadi jaguh kampung
Astro Arena
Jun 9, 2016 21:27 MYT
Jun 9, 2016 21:27 MYT
"JANGAN jadi jaguh kampung," itu amaran legenda olahraga negara, Tan Sri Dr M. Jegathesan, terhadap jaguh pecut, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan.
Amaran itu gara-gara kedua-duanya yang sanggup mengetepikan Kejohanan Remaja Dunia di Poland demi Sukan Malaysia (Sukma), Sarawak, bulan depan.
Bekas juara Asia dan dua kali layak ke separuh akhir acara 200m Sukan Olimpik, Jegathesan, berpegang kepada 'negara patut jadi keutamaan, bukan negeri.'
Ia berhubung isu Badrul dan Khairul yang enggan menyertai Kejohanan Remaja Dunia kerana bertembung tarikh dengan Sukma Sarawak.
"Kecemerlangan bermula daripada impian. Impian untuk menggapai bintang, bukan hanya bulan. Jika anda sasarkan hanya pada tahap yang selesa, anda tidak boleh keluar daripada itu," katanya.
Khairul perlu mempertimbangkan semula keputusan ini kerana reputasinya sebagai pemenang pingat emas 100m Kejohanan Olahraga Remaja Asia di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, minggu lalu.
Dia mencatat 10.36 saat manakala Badrul, yang diletakkan harapan besar memecahkan rekod kebangsaan, sekadar meraih tempat kelima.
Kedua-duanya, bagaimanapun, melepasi had kelayakan 10.55 saat ke Kejohanan Remaja Dunia.
Pandangan sama turut dikongsi bekas pelari pecut negara di Olimpik Rome 1960, Datuk Shahrudin Mohd Ali.
"Mewakili negara adalah keutamaan. Jika anda terus untuk menyertai Sukma atau acara seperti itu, anda hanya memenuhi syarat dan ia tidak adil.
"Jika anda mewakili negara, sudah tentu ia lagi besar. Ia sebuah negara," katanya.
Kedua-dua atlet kendalian jurulatih Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Poad Mohd Kassim, sudah kembali ke Johor untuk menyambung sesi latihan mereka.
Sukma Sarawak akan berlangsung dari 22 hingga 31 Julai ini manakala Kejohanan Remaja Dunia akan berlangsung dari 19 Julai hingga 24 Julai.
#Badrul Hisyam Abdul Manap
#berita olahraga
#berita sukan
#Kejohanan Remaja Dunia
#Khairul Hafiz Jantan
#M. Jegathesan
#pelari pecut negara