Badrul Hisyam perlu sertai kejohanan antarabangsa uji kemampuan

Bernama
Mac 19, 2016 21:32 MYT
Badrul Hisyam perlu terus memperbaiki catatan masa peribadinya. - Gambar fail
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mahu pelari pecut muda negara, Badrul Hisyam Abdul Manap menyertai dua kejohanan antarabangsa untuk menguji kemampuannya pada April dan Mei depan.
Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim berkata dua kejohanan itu adalah Terbuka Filipina dan Terbuka Taiwan tetapi ia bergantung kepada keadaan pelari berusia 18 tahun itu yang masih dibelenggu kecederaan.
Menurut Karim, pihaknya dimaklumkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN), Badrul Hisham cedera semasa menyertai satu kejohanan di Johor baru-baru ini.
"Dia (Badrul Hisham) perlu menyertai beberapa kejohanan untuk menguji kemampuan sebenarnya selain terus memperbaiki catatan masa peribadinya," katanya ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Allcomers Perak 1 di sini hari ini.
Badrul Hisyam menjadi tumpuan apabila mencatat masa 10.29 saat dalam acara 100 meter pada Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN di Brunei November lalu, sekali gus mengatasi rekod kebangsaan 10.30s yang dipegang Watson Nyambek selama 17 tahun.
Bagaimanapun, catatan Badrul Hisyam itu dianggap tidak sah berikutan kegagalan penganjur mengikut spesifikasi ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).
Kejohanan Allcomers Perak 1 berlangsung selama dua hari mulai hari ini di Stadium Perak di sini anjuran bersama Persatuan Olahraga Perak, MSN serta Milo dan disertai kira-kira 750 atlet.
Hari pertama saingan menyaksikan rekod kejohanan acara 5,000 meter jalan kaki wanita yang dicipta Pua Ling En tahun lalu iaitu 27:53.01 berjaya diatasi empat peserta.
Rekod baru kini milik Nurul Alyahaziqah Kamarazaman dari pasukan KOM/MSN Pelapis yang memenangi pingat emas dengan catatan 27:05.70; tempat kedua Nik Nur Nasuha Mohd Sabri dari Perak (27:19.91); ketiga Lee Yan Ru juga dari Perak (27:23.69) manakala tempat keempat oleh wakil Wipers, Wong Jia Yi (27:51.59).
#acara pecut #Badrul Hisyam manap #Badrul Hisyam uji kemampuan #kejohanan antarabangsa #pelari pecut negara
;