Badminton: V Shem-Wee Kiong mula langkah kanan
Astro Arena
Ogos 23, 2018 18:20 MYT
Ogos 23, 2018 18:20 MYT
SKUAD badminton negara memulakan saingan individu dalam Sukan Asia Indonesia dengan langkah kanan selepas kemenangan yang dicatat gandingan beregu lelaki, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, di Istora Senayan, Jakarta, hari ini.
Turun sebagai beregu nombor satu negara, V Shem-Wee Kiong perlu melepasi halangan gandingan Thailand, Kittnupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh, dalam pusingan pertama.
Set pertama berlangsung sengit dengan kedua-dua gandingan saling berbalas kutipan mata.
Begitupun, V Shem-Wee Kiong mula mendapat momentum sebelum memberi asakan demi asakan kepada lawan yang menyaksikan mereka mencatat kemenangan 21-15 dalam set pertama.
Meskipun menerima tentangan lebih hebat dalam set berikutnya, V Shem-Wee Kiong mengekalkan tumpuan mereka bagi menutup permainan hasil kemenangan 21-16.
Mereka akan berdepan gandingan dari Nepal, Bikash Shrestha dan Nabin Shrestha, dalam pusingan kedua esok.
"Kami dapat mengawal taktikal seperti yang dirancang berbanding pertemuan terakhir kami," kata Wee Kiong.
Dalam pada itu, Wee Kiong menjelaskan kekalahan Malaysia dalam acara berpasukan lelaki memberikan motivasi buat mereka untuk tampil lebih baik dalam saingan individu ini.
Buat kali pertama, skuad negara gagal melayakkan diri ke suku akhir acara berpasukan lelaki apabila kecundang kepada Jepun dalam pusingan pertama.
"Sebagai atlet, kami perlu profesional, kami perlu melupakan kegagalan dalam acara berpasukan dan kini fokus kepada individu," katanya lagi.