Badminton: Usah tekan Zii Jia - Roslin

Bernama
Mei 6, 2022 12:20 MYT
Roslin (kiri) beranggapan prestasi Zii Jia masih terumbang-ambing sejak memilih bergelar pemain profesional Januari lepas.
BANGKOK: Jangan letak harapan menggunung kepada Lee Zii Jia!
Itu pesanan bekas jaguh badminton negara Roslin Hashim yang ditujukan kepada pasukan Malaysia dalam Kejohanan Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand berlangsung 8 hingga 15 Mei ini.
Biarpun Zii Jia masih segar dengan kejayaan menjuarai Kejohanan Badminton Asia 2022 di Manila, Filipina, Ahad lepas, Roslin beranggapan prestasi pemain perseorangan lelaki negara itu masih terumbang-ambing sejak memilih bergelar pemain profesional Januari lepas.
"Jika hendak letakkan harapan terlalu tinggi agak payah, bolehkah dia menyumbang satu mata? Ini agak berbeza dengan Datuk Lee Chong Wei dahulu kerana kita yakin dia boleh sumbang satu mata.
"Mungkin kita boleh letak harapan kepada Zii Jia 60 hingga 70 peratus," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Roslin yang pernah beraksi sebanyak empat kali di Piala Thomas sebelum ini berharap agar rakan sepasukan lain memikul tanggungjawab sama rata untuk memastikan Malaysia mencatat kejayaan membanggakan dalam kejohanan berlangsung di Impact Arena itu.
Sementara itu, beliau seolah-olah 'bingung' dengan tindakan Persatuan Badminton Malaysia yang menyenaraikan pemain veteran Liew Daren ke dalam barisan akhir pemain di Piala Thomas kali ini.
"Pemilihan untuk kem perseorangan agak longgar sikit, secara peribadi saya rasa Daren tidak perlu disenaraikan, lebih baik masukkan dua pemain profesinal lain sama ada Cheam June Wei atau Soong Joo Ven," tambahnya.
Selain Zii Jia dan Daren, kem perseorangan negara pada kejohanan itu turut dibarisi tiga 'ubi muda' iaitu Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Leong Jun Hao.
Kem beregu negara pula diwakili Aaron Chia selaku ketua pasukan yang bergandingan dengan Soh Wooi Yik diikuti Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Chia Weijie.
Malaysia diundi bersama juara 2014 yang juga pilihan kedua, Jepun bersama England dan Amerika Syarikat dalam saingan Kumpulan D Piala Thomas 2022.
Mengenai cabaran Malaysia di Piala Uber pula, Roslin yang juga juara Sukan SEA 2001 berkata agak mustahil bagi skuad negara untuk melepasi Kumpulan C kerana perlu berdepan dua pasukan terkuat iaitu tuan rumah dan Denmark selain Mesir.
"Jika mereka berjaya kalahkan Thailand atau Denmark di peringkat kumpulan, pujian harus diberikan apatah lagi berjaya layak ke suku akhir kerana itu sudah semestinya pencapaian membanggakan bagi skuad Piala Uber kita," katanya.
Skuad Piala Uber negara dibarisi enam pemain perseorangan iaitu S Kisona, Goh Jin Wei, Eoon Qi Xuan, Myisha Khairul, Tan Zhing Yi, Chan Wen Tse manakala Pearly Tan, M Thinaah, Anna Ching Yik Cheong, Teoh Mei Xing, Valeree Siow dan Low Yeen Yuan pula dipertaruhkan untuk kem beregu.
-- BERNAMA
#Piala Thomas #badminton #Lee Zii Jia #Roslin Hashim #Bangkok #BAM
;