Badminton: Tze Yong sudah kembali berlatih - Rexy
Bernama
September 17, 2024 13:30 MYT
September 17, 2024 13:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong sudah mula menjalani latihan ringan bersama kem skuad kebangsaan sejak dua minggu lepas, kata Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky.
Rexy berkata pemain berusia 24 tahun itu bagaimanapun masih perlu menjalani rehabilitasi bagi dua pembedahan belakangnya pada Februari dan April lepas.
"Sudah berlatih (dan) bergerak dengan pergerakan lebih jauh cuma tidak sepenuhnya. Dia kalau datang sini (Persatuan Badminton Malaysia (BAM)) mungkin dalam hanya satu jam maksimum.
"(Namun) Tze Yong memang sudah mempunyai pergerakan positif (dan) tidak ada masalah untuk bergerak cuma (masih) buat rehabilitasi untuk bangunkan kembali dia punya kekuatan (seperti sedia kala)," katanya kepada Bernama ketika ditemui di BAM, Bukit Kiara di sini hari ini.
Jurulatih berusia 56 tahun itu memaklumkan pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu berkemungkinan hanya akan dihantar menyertai kejohanan dalam kalendar Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bermula tahun depan.
Tze Yong sebelum ini disahkan mengalami kesakitan tulang belakang akibat kecederaan dialami pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, Selangor pada Februari.
Kecederaan yang melanda dirinya itu menyaksikan beliau terlepas peluang membuat penampilan sulung pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.
-- BERNAMA