Badminton Terbuka Thailand: Zii Jia mara ke suku akhir
Bernama
Mei 16, 2024 19:41 MYT
Mei 16, 2024 19:41 MYT
BANGKOK: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menepati ramalan apabila menempah slot suku akhir Terbuka Thailand 2024 selepas menewaskan pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin, pada aksi pusingan kedua di Stadium Nimibutr di sini hari ini.
Pemain ranking ke-10 dunia itu hanya mengambil masa 36 minit untuk mencatatkan kemenangan straight set 22-20, 21-17 ke atas wakil Korea Selatan itu dan bakal membuat perhitungan dengan pemain ranking ke-19 dunia dari China, Le Guang Zu pada aksi suku akhir esok.
Zii Jia, selaku pemain pilihan keenam dan bekas juara edisi 2022, berkata beliau menjangkakan saingan sengit daripada Guang Zu esok.
"Seperti yang kita semua tahu, Guang Zu adalah pemain defensif dan rali yang sangat baik...ia akan menjadi perlawanan yang sukar terutamanya pergerakan angin dan bulu tangkis dalam arena agak perlahan," kata pemain berusia 26 tahun itu.
Sementara itu,seorang lagi perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao yang berada di ranking ke-37 dunia memberi tentangan sengit kepada juara dunia dari Thailand Kunlavut Vitidsarn sebelum tewas 22-20, 14-21, 13-21 dalam aksi selama satu jam 32 minit.
"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan prestasi hari ini kerana ia sentiasa sukar untuk menentang pemain pilihan tuan rumah. Saya berharap dapat mencontohi satu lagi prestasi baik semasa Malaysia Masters minggu depan," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas perlawanan.
Terdahulu, dua beregu campuran negara Yap Roy King-Valeree Siow dan Choong Hon Jian-Go Pei Kee turut terkandas di pusingan kedua selepas tewas di tangan lawan masing-masing,
Roy King-Valaree tunduk di tangan pilihan pertama kejohanan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 11-21, 16-21 manakala Hon Jian-Pei Kee tewas kepada pilihan ketujuh dari Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati 15-21, 15-21.
-- BERNAMA