Badminton Terbuka Malaysia: Kian Meng-Pei Jing kandas di pusingan pertama
Astro Arena
Januari 9, 2024 12:17 MYT
Januari 9, 2024 12:17 MYT
BEREGU campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama saingan Terbuka Malaysia yang berlangsung di Axiata Arena, sebentar tadi.
Aksi pembukaan Badminton Terbuka Malaysia yang menyaksikan gandingan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berdepan detik sukar di awal set pertama.
Pemain pilihan ketujuh kejohanan, Kim Won-ho- Jeong Na-eun tidak mudah memberi mata kepada pemain negara.
Mereka ketinggalan jauh dengan mata 11-2 sekali gus memberi kelebihan buat gandingan Korea Selatan itu untuk menutup game dengan mata 21-11.
Kian Meng-Pei Jing cuba meningkatkan mutu permainan dengan lebih agresif di set kedua dan mereka berjaya mendahului di awal permainan.
Ianya seakan memberi sedikit nafas lega buat meraka. Namun semuanya tidak bertahan lama apabila beregu dari Korea Selatan itu berjaya merapatkan kedudukan mata dan terus mendominasi permainan sehingga ke mata akhir dengan keputusan 21-16.
Pasangan negara terpaksa akur gagal meloloskan diri ke pusingan kedua kejohanan itu buat kali kedua berturut-turut.
*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro