Badminton Terbuka Malaysia: Gelaran juara pertama bersejarah bagi Apriyani-Siti Fadia
Bernama
Julai 3, 2022 18:34 MYT
Julai 3, 2022 18:34 MYT
KUALA LUMPUR: Gandingan baharu beregu wanita Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti menjulang kejuaraan pertama mereka di Terbuka Malaysia 2022 di sini, hari ini, meskipun baru sebulan membuat penampilan sulung.
Ini adalah kejohanan terbuka ketiga mereka selepas kali pertama digandingkan pada Indonesia Masters bulan lepas.
Apriyani-Siti Fadia mengakhiri prestasi cemerlang mereka untuk dimahkotakan sebagai juara selepas menundukkan Zhang Shu Xian-Zheng Yu dari China menerusi set penentuan di Arena Axiata.
Gandingan nombor 133 dunia itu menang set pertama 21-18, namun gagal mengekalkan permulaan cemerlang mereka sekali gus membolehkan Shu Xian-Yu bangkit untuk menang 12-21.
Ketika ketinggalan tiga mata 4-7 pada set penentuan, pasangan Indonesia itu berjaya merubah kedudukan untuk mendahului pada mata 13-12 seterusnya mengekalkan rentak permainan bagi meraih mata kemenangan 21-19.
Ini merupakan kejayaan kedua Apriyani-Siti Fadia selepas mereka meraih pingat emas dalam Sukan SEA Hanoi pada Mei lepas, mengalahkan Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard dari Thailand, 21-17, 21-14.
Apriyani, 24, nyata gembira dengan gelaran juara terbuka pertama mereka itu dan berharap dapat meraih lebih banyak kejayaan bersama Siti Fadia, 21, pada masa depan termasuk memenangi pingat emas kedua Sukan Olimpik di Paris pada 2024.
Apriyani, tidak asing dalam arena badminton Indonesia memandangkan dia dan bekas gandingannya, Greysia Polii pernah menewaskan pasangan China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan, 21-19, 21-15 untuk merangkul emas dalam Sukan Olimpik Tokyo tahun lepas.
Dia mengakui hampir putus asa selepas Greysia memutuskan mahu bersara beberapa bulan lepas, tetapi kini berasa lega apabila gandingannya bersama Siti Fadia mula menampakkan hasil.
"Terima kasih kepada Greysia yang banyak sekali bimbing saya sebelum ini dan apa yang saya belajar daripadanya bantu saya untuk turunkan ilmu kepada Siti Fadia," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.
Walaupun telah meraih gelaran juara terbuka pertama mereka, Siti Fadia tetap merendah diri dan berkata perjalanan bersama Apriyani masih jauh.
Sementara itu, dalam kategori beregu campuran, pilihan kedua Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China mencipta hatrick juara Terbuka Malaysia selepas mengalahkan pilihan utama Dechapol Puaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand.
Si Wei-Ya Qiong berjaya menguasai permainan dari awal set pertama lagi untuk menundukkan penyandang juara dunia itu, 21-13 sebelum memastikan gelaran juara dengan 21-18 pada set kedua.
Ini merupakan gelaran juara kelima berturut-turut bagi Si Wei-Ya Qiong selepas menang ke atas rakan senegara Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping, 21-17, 21-8, dalam Kejohanan Badminton Asia di Manila.
Si Wei ketika ditemui selepas perlawanan berkata dia teruja meraih gelaran juara, kali ketiga berturut-turut di Malaysia.
Dalam pada itu, Ya Qiong pula berkata mereka hanya mahu fokus pada satu perlawanan dalam satu masa meskipun menjadi antara pasangan pilihan untuk menang dalam Kejohanan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Tokyo, Jepun, dijadual pada 21-28 Ogos ini.
-- BERNAMA