Badminton Terbuka Korea: Tze Yong ubat duka Zii Jia
Sinar Harian
Julai 20, 2023 16:17 MYT
Julai 20, 2023 16:17 MYT
PEMAIN perseorangan nombor dua negara, Ng Tze Yong mara ke suku akhir Terbuka Korea setelah menewaskan jaguh Hong Kong, Ng Ka Long dalam aksi pusingan kedua di Yeosu pada Khamis.
Tze Yong yang menghuni ranking ke-23 itu mudah mengalahkan lawan di kedudukan lebih baik iaitu ke-14 dunia menerusi aksi straight set.
Ka Long yang dilatih bekas Pengarah Kejurulatihan (Perseorangan) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann tewas 21-18 dan 21-17 dalam aksi selama 50 minit di Stadium Jinnam.
Kemenangan itu juga bagi menebus duka rakan senegara, Lee Zii Jia yang tewas kepada Ka Long dalam pusingan awal pada Rabu.
Zii Jia yang dilatih Wong Tat Meng sejak awal bulan ini kalah 21-15, 21-18, 21-17 dalam pertembungan pusingan pertama pada Rabu.
Keputusan tersebut menambah koleksi kejayaan Tze Yong kepada dua kemenangan daripada tiga pertemuan ke atas Ka Long di peringkat antarabangsa.
Kemenangan Tze Yong itu memastikan Malaysia mempunyai wakil dalam acara perseorangan lelaki selepas kekalahan Zii Jia, Leong Jun Hao dan Cheam June Wei di pusingan pertama.
Sebagai rekod, ini adalah kali kelima Tze Yong mara ke suku akhir musim ini selepas melakukannya di Masters Thailand, Seluruh England, Terbuka Switzerland dan Terbuka Thailand.
Dalam aksi suku akhir kejohanan Jelajah Dunia Super 300 itu pada Jumaat, Tze Yong dijangka berdepan sama ada pemain Singapura, Loh Kean Yew merangkap pilihan keempat kejohanan atau pemain China, Zhao Jun Peng. -- Sinar Harian