Badminton: Tat Meng sah tinggalkan 'team' Lee Zii Jia
Bernama
Disember 6, 2024 14:31 MYT
Disember 6, 2024 14:31 MYT
KUALA LUMPUR: Pasukan Lee Zii Jia (Team LZJ) mengesahkan Pengarah Kejurulatihannya Wong Tat Meng akan meninggalkan pasukan berkenaan untuk meneruskan fasa baharu dalam kerjaya kejurulatihannya.
Team LZJ dalam kenyataan hari ini memaklumkan Tat Meng akan meneruskan khidmatnya bersama pasukan hingga kontraknya berakhir secara rasmi pada 31 Dis ini, dan sedang mempersiapkan Zii Jia untuk kejohanan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan datang.
"Sejak menyertai pasukan pada Julai 2023, Tat Meng telah memainkan peranan penting dalam membantu Zii Jia kembali ke dalam kelompok 10 terbaik dunia, memenangi gelaran dan membawa pulang pingat gangsa Olimpik Paris 2024.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada Tat meng atas kerja keras, dedikasi dan paling penting, kebijaksanaan dan bimbingannya sepanjang masa bersama Team LZJ," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Team LZJ memaklumkan pihaknya akan melantik pengganti Tat Meng dan pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.
"Pasukan kami juga sedang bersiap sedia untuk permulaan musim 2025, dengan mengingati kitaran Olimpik seterusnya," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA