Badminton Sukan Asia Hangzhou: Juara dunia singkir beregu campuran negara di suku akhir

Astro Arena
Oktober 5, 2023 10:20 MYT
Cabaran wakil negara pasangan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (gambar) memburu pingat di Sukan Asia Hangzhou berakhir apabila kalah kepada wakil China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong. - Foto Astro ARENA
PERJALANAN beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, dalam saingan Sukan Asia Hangzhou terhenti di suku akhir susulan tewas kepada wakil tuan rumah, Zheng Siwei-Huang Yaqiong sebentar tadi.
Wakil negara turun beraksi di Gimnasium Binjiang memburu slot ke separuh akhir, namun juara dunia 2023 menjadi benteng besar dalam perlawanan hari ini.
Beberapa kesilapan di awal saingan membenarkan wakil China itu mendahului permainan sebelum selesa memimpin perlawanan 17-14, memastikan empat mata berturut-turut untuk menamatkan set pertama 21-14.
Skrip berbeza berlaku dalam set berikutnya. Tang Jie-Ee Wei meningkatkan kualiti permainan sekali gus meletakkan pasangan tuan rumah dalam kedudukan yang kurang selesa.
Mendahului 15-13, Malaysia memiliki peluang terhidang untuk mengheret permainan ke set penentuan apabila mendahului 20-17.
Bagaimanapun, pengalaman menjadi pemisah apabila Siwei-Yaqiong mengejar kedudukan untuk terikat 20-20, sebelum memastikan 23-21, sekali gus menamatkan cabaran wakil negara memburu pingat di Hangzhou.
#Chen Tang Jie-Toh Ee Wei #badminton #beregu campuran negara #Sukan Asia Hangzhou 2022
;