Badminton: Rexy gesa beregu lelaki bangkit dari 'penyakit' kalah separuh akhir
Bernama
Julai 3, 2022 15:32 MYT
Julai 3, 2022 15:32 MYT
KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky menggesa pemain beregu lelaki bangkit daripada 'penyakit' kecundang di peringkat separuh akhir dan final kejohanan.
Beliau berkata wakil negara, terutama beregu nombor satu Aaron Chia-Soh Wooi Yik mampu memberi saingan dan menewaskan pemain handal di peringkat awal, tetapi kerap kali tewas apabila sampai ke peringkat separuh akhir.
Sebagai contoh pada perlawanan separuh akhir Terbuka Malaysia semalam, Aaron-Wooi Yik sudah mendahului 18-14 pada set pertama menentang Juara Dunia 2021 Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, namun tewas 21-23, 9-21.
Menurut Rexy pihaknya bersama Institut Sukan Negara (ISN) sebelum ini sudah mengambil pendekatan menerusi pakar psikologi untuk menguatkan ketahanan mental pemain, namun perkara itu masih berulang.
"Pemain kita ini senang 'pening' dan panik sendiri. Seperti Aaron-Wooi Yik dah mendahului, tetapi mereka membenarkan lawan kejar balik, tetapi apabila mereka ketinggalan 1-5 pada set kedua, mereka seolah-olah menjadi seperti tak tahu macam mana nak main.
"Kenapa pusingan pertama, kedua dan suku akhir boleh main bagus, tetapi sampai ke separuh akhir.. tak tahu apa dalam fikiran mereka. Saya rasa ini lebih kepada mental, bukan teknik permainan," katanya ketika ditemui pemberita.
Kekalahan semalam menyaksikan Aaron-Wooi Yik, yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020, masih kempunan untuk meraih gelaran Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sulung mereka.
Satu-satunya gelaran (tidak termasuk acara berpasukan) yang pernah dimenangi gandingan itu setakat ini adalah pingat emas Sukan SEA 2019 di Filipina dan mereka juga pernah terkandas di final enam Jelajah Dunia termasuk All England 2019 dan Terbuka Thailand 2020.
Sementara itu, satu lagi beregu negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pula seolah-olah ketandusan idea untuk membaiki kedudukan mereka ketika menentang Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Pasangan itu kecundang 14-21,12-21 kepada beregu ranking ketujuh dunia tersebut.
Mengulas aksi anak buahnya itu, Rexy berkata mereka sepatutnya lebih fokus dalam membaca permainan dan gerak-geri lawan di dalam gelanggang, selain menukar gaya permainan dengan pantas untuk mencari teknik mengatasi lawan.
"Lawan sudah main di net, mereka tetap bagi situ, dah tahu lawan boleh kembalikan smash, tetapi masih bagi ke sana, main macam tak ada idea. Sepatutnya harus bijak, seperti smash ke arah lain atau bagi dropshot," katanya.
-- BERNAMA