Badminton Piala Uber: Malaysia tewas tipis kepada Denmark

Astro Arena
Mei 8, 2022 19:57 MYT
Pemain Badminton Denmark Mia Blichfeldt meraikan kemenangannya selepas menang ketika menentang pemain Badminton Negara S Kisona pada Kejohanan Piala Uber di Stadium Impact Arena Bangkok hari ini. - Foto BERNAMA
SKUAD badminton wanita negara memulakan kempen Kumpulan C, Piala Uber 2022 dengan kekalahan tipis 2-3 kepada Denmark di Impact Arena, Bangkok sebentar tadi.
Malaysia bermula dengan langkah kiri apabila perseorangan utama, S. Kisona, tewas mudah kepada Mia Blichfeldt 14-21,15-21 dalam masa 35 minit.
Seperti yang diharapkan, beregu nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah, kembali mengikat kedudukan buat skuad negara hasil kemenangan 21-19,21-19.
Perseorangan profesional, Goh Jin Wei, kemudian meletakkan Malaysia di depan sebaik mencetak kemenangan 21-11, 11-21, 21-5.
Bagaimanapun, beregu kedua Denmark, Alexandra Boje-Amalia Magelund, jelas terlalu hebat untuk ditentang Anna Cheong-Teoh Mei Xing, yang akur dengan kekalahan 14-21, 10-21.
Jurang 202 anak tangga dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) jelas menjadi pemisah perseorangan ketiga negara, Myisha Khairul, dengan pemain nombor 33 dunia, Lina Hojmark Kjaersfeldt, sekali gus tewas 12-21, 9-21 dalam masa 33 minit.
Malaysia seterusnya akan bertemu pasukan pilihan utama Kumpulan C, Thailand, petang esok.
*Artikel Asal disiarkan di Stadium Astro
#badminton #Piala Uber #Malaysia #Denmark #Bangkok #kalah tipis
;