Badminton: Perjuangan Malaysia di Terbuka Korea berakhir

Sinar Harian
Julai 21, 2023 17:12 MYT
Pasangan negara Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei tewas kepada pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 9-21, 21-23. - Gambar fail/BAM
BEREGU lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei gagal meneruskan momentum kejuaraan di Terbuka Amerika Syarikat minggu lalu selepas tewas kepada pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 9-21, 21-23 di Terbuka Korea Selatan.
Dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Jinnam di Yeosu, Korea itu, gandingan negara yang berada di ranking ke-46 dunia tewas mudah set pertama 9-21.
Bagaimanapun, mereka cuba bangkit pada set kedua dengan permainan lebih kemas namun terpaksa akur dengan kehandalan beregu Indonesia itu dengan kekalahan 21-23.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, Izzuddin-Sze Fei bagaikan hilang keyakinan dan gagal bertahan dengan baik yang menjadi punca kecundang mudah pada set pertama.
"Set pertama mereka bermain mengikut rentak permainan lawan. Mereka juga hilang keyakinan apabila gagal bertahan dengan baik.
"Namun, memasuki set kedua, mereka sudah bermain dengan betul tetapi ketika mendahului 16-10, mereka tukar corak permainan dan membuatkan Fajar-Rian dapat mengutip mata 13-16, 14-16. Waktu itu mereka sudah mulai tidak tenang dan ia sayang sekali.
"Kalau ketika mendahului 16-10 itu mereka lebih bersabar, saya percaya mereka boleh heret perlawanan ke set ketiga," katanya.
Dalam pada itu, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong juga gagal meneruskan kemaraan selepas tewas kepada bekas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew 20-22, 19-21.
Pemain di ranking ke-23 dunia itu berpeluang menebus kekalahan di tangan Kean Yew itu apabila mereka sekali lagi dijadual bertemu di pusingan pertama Terbuka Jepun minggu depan. -- Sinar Harian
#badminton #Terbuka Korea #beregu lelaki negara #nur izzuddin rumsani #Goh Sze Fei
;