Badminton: Pearly mahu pastikan bebas daripada kecederaan tahun depan
Bernama
Disember 26, 2023 18:58 MYT
Disember 26, 2023 18:58 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain beregu wanita utama negara, Pearly Tan, mahu memastikan dirinya bebas daripada sebarang kecederaan sepanjang tahun depan.
Pearly berkata penting untuknya kekal cergas bagi membolehkan beliau dan gandingannya, M. Thinaah mengesahkan slot untuk aksi sulung dalam Sukan Olimpik di Paris.
Mengimbas cabaran dihadapinya sepanjang tahun ini, pemain berusia 23 tahun itu mengakui beberapa rintangan termasuk kecederaan selain jatuh sakit telah menjejaskan prestasinya di gelanggang.
"Tahun ini bukan tahun yang baik buat saya susulan kecederaan, demam dan saya juga baru pulih daripada COVID-19 pada Rabu lepas, namun saya tetap gembira berjaya menempuhnya.
"Saya sudah pulih sepenuhnya dan kini saya lebih tumpu kepada mengelak sebarang kecederaan selain berharap bertambah kuat," katanya kepada wartawan selepas sesi latihan di sini hari ini.
Pada Oktober lepas, Pearly mengalami kecederaan belakang selepas beliau dan Thinaah tersingkir pada aksi suku akhir di tangan pemenang pingat perak dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee, 21-15, 11-21, 7-21, dalam Sukan Asia Hangzhou 2022.
Susulan itu, pasangan nombor 12 dunia itu menarik dari daripada tiga kejohanan di Eropah bermula daripada Terbuka Arctic 2023 di Finland, diikuti Terbuka Denmark 2023 dan Terbuka Perancis 2023.
Walaupun membuat kemunculan semula di Masters Jepun 2023 pada bulan lepas, juara Terbuka Perancis 2022 itu tewas pada suku akhir di tangan pasangan tuan rumah, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto, 13-21, 18-21.
Pearly-Thinaah menutup musim ini tanpa sebarang kejuaraan apabila tewas di tangan beregu Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong, 11-21, 21-15, 20-22 dalam pusingan awal Masters China 2023.
Pencapaian terbaik mereka pada tahun ini setakat dua kali naib juara, masing-masing pada Masters Malaysia 2023 pada Mei selepas kalah kepada Ha Na-So Hee, 20-22, 21-8, 17-21 dan Terbuka Hong Kong 2023 pada September apabila tunduk dalam set penentuan kepada pasangan Indonesia Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti, 21-14, 22-24, 9-21.
Dalam pada itu, Pearly berkata mereka akan menggunakan strategi yang betul bagi menggekalkan rekod bersih menentang gadingan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning apabila kedua-dua pasangan itu dijadual bertembung dalam pusingan pertama Terbuka Malaysia 2024 yang akan berlangsung pada 9-14 Jan di Axiata Arena.
Pearly-Thinaah memiliki sedikit kelebihan menjelang pertarungan di Terbuka Malaysia itu selepas mencatatkan dua kemenangan ke atas pasangan nombor lapan dunia berkenaan.
Pasangan Malaysia itu menang 21-17, 12-21, 21-19 dalam pertemuan pertama mereka ketika Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2023 di Dubai pada Februari lepas dan mencipta kemenangan kedua 21-11, 9-21, 21-19 pada Terbuka Jepun 2023 pada Ogos.
Sementara itu, pemain beregu lelaki negara, Man Wei Chong berkata beliau dan gandingannya, Tee Kai Wun bekerja keras untuk mengukuhkan kekuatan mental mereka menjelang perlawanan pusingan pertama menentang juara nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang pada Terbuka Malaysia 2024 nanti.
Ditanya mengenai sasaran mereka tahun depan, Wei Chong berharap mereka akan dapat mencipta kemenangan untuk berada dalam ranking 10 terbaik dunia.
Wei Chong-Kai Wun ketika ini menduduki tangga ke-19 dunia yang juga ranking terbaik mereka setakat ini.
-- BERNAMA