Badminton: Nur Izzuddin-Sze Fei sah kembali bergandingan
Astro Arena
Mei 31, 2023 22:03 MYT
Mei 31, 2023 22:03 MYT
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria, hari ini mengesahkan bahawa Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei akan kembali bergandingan demi mengejar kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Selepas lima bulan memilih untuk membawa haluan masing-masing, kedua-dua pemain itu akhirnya terbuka hati untuk melupakan segala sengketa lama dan bersedia untuk memulakan coretan baru.
Nur Izzuddin dan Sze Fei pada Januari lalu memilih untuk dipisahkan selepas tiada lagi persefahaman sesama mereka.
Ia selepas mereka tersingkir dalam pusingan awal beberapa kejohanan lalu dan gagal mencapai prestasi seperti yang dimahukan.
Sebagai rekod, mereka pernah bergelar beregu lelaki nombor sembilan dunia pada Disember lalu.
Kehadiran mereka sudah pasti akan merancakkan lagi persaingan merebut tiket kelayakan ke Paris.
"Saya melihat selepas mereka membawah haluan masing-masing, mereka berdua seperti tidak gembira dengan keadaan mereka sekarang dan ada kekesalan," kata Norza seperti yang dilaporkan Astro Arena.
"Disebabkan itu, saya telah memanggil Rexy (Mainaky, Pengarah Kejurulatihan Bahagian Beregu BAM) untuk memanggil kedua-dua mereka agar saya dapat menyelami apakah kehendak mereka sebenarnya.
"Dan mereka mengatakan bahawa mereka sebenarnya hendak bersama dan telah nekad untuk kembali bersama untuk mencapai impian masing-masing," katanya.
Norza menambah: "Bagi saya ia adalah sesuatu yang menyedihkan dan sia-sia apabila ranking mereka jatuh ke-32 dunia dan saya rasa ia akan menyusahkan mereka untuk naik semula.
"Memandangkan kelayakan ke Sukan Olimpik baru sahaja bermula, saya rasa ini adalah masa yang tepat untuk kami bertanyakan sama ada mereka mahu kembali semula atau tidak dan sekiranya mereka mahu bersama semula, ia akan memeriahkan lagi saingan ke Sukan Olimpik," katanya.