Badminton: Norza cabar V Shem-Wee Kiong kekalkan ranking nombor satu
Bernama
November 11, 2016 18:36 MYT
November 11, 2016 18:36 MYT
Pemenang pingat perak beregu lelaki Sukan Olimpik 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dicabar mengekalkan konsistensi untuk mempertahankan ranking nombor satu dunia yang diduduki mereka ketika ini.
Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata konsistensi adalah kunci utama jika mahu mengekalkan kedudukan itu bagi tempoh yang panjang.
"Perlu diingatkan cabaran yang lebih getir menanti selepas ini. Jadi, mereka janganlah cepat mendabik dada," katanya yang turut mengucapkan tahniah kepada pasangan itu atas kemampuan melonjak ke persada ranking dunia.
Sementara itu, jurulatih beregu negara, Jeremy Gan turut berkongsi nada yang sama dan menuntut V Shem-Wee Kiong mengekalkan prestasi pada tahap terbaik dengan sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir dalam dua kejohanan terdekat iaitu di Terbuka China (15-20 Nov) dan Terbuka Hong Kong (22-27 Nov).
"Bagi kejohanan seterusnya nanti, mereka perlu sekurang-kurangnya melangkah ke separuh akhir bagi memastikan kedudukan nombor satu itu terus dapat dikekalkan dalam tempoh yang lama seperti jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei.
"Saingan untuk beregu ini amat sukar dan peluang terbuka kerana setiap negara seperti China, Denmark dan Indonesia juga mempunyai beregu yang baik," katanya.
Pasangan negara itu berjaya merampas status nombor satu dunia daripada beregu Korea Selatan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong yang terkeluar daripada ranking selepas Yong Dae mengumumkan persaraan daripada pentas antarabangsa baru-baru ini.
Menurut ranking terbaharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam, V Shem-Wee Kiong mendahului dengan mengumpul 71,297 mata diikuti gandingan dari China, Chai Biao-Hong Wei di kedudukan kedua (70,220) dan pasangan Denmark Mathias Boe-Cartsen Mogensen di tempat ketiga (67,534). -- Bernama