Badminton negara masih relevan - Chin Chai
Astro Arena
Oktober 16, 2018 04:17 MYT
Oktober 16, 2018 04:17 MYT
SETIAUSAHA Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai, berkata badminton masih releven untuk diletakkan harapan selaku sukan yang mampu mencetus pingat emas pertama menjelang temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Kejayaan dan prestasi menyakinkan daripada beberapa pemain negara dalam tempoh terdekat umpama petanda sukan badminton sedang melalui fasa perubahan.
Sebelum ini, BAM hanya bergantung kepada jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei, namun keputusan yang dihadirkan pemain muda seperti Goh Jin Wei, Lee Zii Jia dan Cheam Jun Wei sejak kebelakangan ini bakal membuka cerita berbeza.
"Ada kemungkinan Lee Chong Wei akan kembali bermain, namun kebangkitan yang dipamer Goh Jin Wei serta beberapa pemain muda menunjukkan kita masih ada harapan untuk mendapat emas pertama dalam Sukan Olimpik 2020," kata Chin Chai.
Usaha mendapatkan pengarah kejurulatihan BAM selewat-lewatnya awal tahun depan juga bakal menjadi penyumbang positif kepada perkembangan badminton negara.
"Individu yang kita mahukan itu masih mempunyai kontrak dengan majikannya. Kami masih berbincang mengenai pakej gaji serta petunjuk prestasi utama (KPI) yang akan diberikan.
"Dengan itu, kami memerlukan sedikit masa untuk membuat keputusan. Apapun, keputusan itu akan dikeluarkan awal tahun depan," tambahnya.