Badminton Masters Korea: Joo Ven, Soon Huat-Shevon mara ke separuh akhir

Bernama
April 15, 2022 16:49 MYT
Pemain Malaysia itu bakal berdepan pemain Jepun, Kodai Naraoka pada pusingan separuh akhir esok.- Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemain profesional negara Soong Joo Ven terus menampilkan aksi cemerlang untuk mara ke separuh akhir kejohanan badminton Masters Korea apabila menumpaskan pemain Israel, Misha Zilberman pada pusingan suku akhir, hari ini.
Joo Ven melangkah ke peringkat empat terbaik acara perseorangan lelaki itu setelah mencatat kemenangan 23-21, 21-18 ke atas lawannya dalam perlawanan yang berlangsung selama 48 minit di Stadium Gwangju Yeonju, Gwangju.
Pemain Malaysia berusia 26 tahun itu bakal berdepan pemain Jepun, Kodai Naraoka pada pusingan separuh akhir esok.
Beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut melakar kemenangan untuk menempah slot ke separuh akhir selepas menewaskan gandingan dari Singapura, Terry Hee Yong Kai-Tan Wei Han dengan keputusan straight set.
Pada pertemuan di pusingan suku akhir hari ini, pasangan negara itu yang juga pilihan keempat kejohanan, menewaskan beregu Singapura itu 21-16, 21-11.
Menanti Soon Huat-Shevon pada pusingan separuh akhir esok, adalah pasangan China Ou Xuan Yi-Huang Ya Qiong.
-- BERNAMA
#badminton #Soong Joo Ven #perseorangan lelaki #Masters Korea
;