Badminton Malaysia sedang harungi peralihan - Mohamad Norza

Astro Arena
Januari 1, 2019 05:07 MYT
MOHAMAD NORZA: Mereka yang mengambil keputusan mengundur diri daripada BAM telah diberikan restu. - Gambar fail
PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menegaskan kehilangan pengaruh senior dalam skuad badminton kebangsaan bukan untuk ditangisi tetapi menjadi peralihan yang diperlukan untuk melahirkan jaguh era baharu.
Mohamad Norza berpandangan pengunduran senior seperti beregu lelaki, Tan Wee Kiong-Goh V Shem, serta beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, perlu ditangani dengan penuh profesional.
Dengan merestui pemergian mereka, BAM berupaya melaksanakan program buat bakat muda negara tanpa perlu memikirkan keistimewaan tertentu barisan senior.
BAM juga percaya pengaruh mereka yang bakal dinikmati badan profesional akan meningkatkan persaingan sihat di antara pasukan kelab dan kebangsaan dalam pemburuan tiket ke Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik Tokyo 2020.
"Kesemua pemain dan jurulatih sedia ada memahami pendekatan BAM yang ingin mewujudkan budaya berintensiti tinggi. Mereka yang mengambil keputusan mengundur diri daripada BAM telah diberikan restu.
"Sebilangan pemain senior yang berkemungkinan bakal membuat penampilan terakhir dalam Sukan Olimpik mahukan sesuatu pengalaman yang berbeza daripada segi persiapan menghadapi temasya tersebut," kata Mohamad Norza.
#atlet negara #badan profesional #badminton #bakat muda #Mohamad Norza Zakaria #pemain profesional #pemain senior #peralihan #Persatuan Badminton Malaysia #presiden BAM #Sukan Olimpik #undur diri
;