Badminton: Lima pemain Malaysia melangkah ke pusingan seterusnya

Bernama
Ogos 4, 2022 07:30 MYT
Dari kiri, gandingan beregu campuran Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing, pemain perseorangan Ng Tze Yong dan pemain profesional perseorangan wanita Goh Jin Wei. - Facebook Badminton Association of Malaysia - BAM
BIRMINGHAM: Kesemua lima pemain negara yang beraksi pada perlawanan pada Khamis di Sukan Komanwel Birmingham 2022, ternyata tidak menghadapi banyak masalah untuk mengatasi lawan masing-masing dan melangkah ke pusingan seterusnya yang akan berlangsung hari ini (Jumaat).
Pada acara yang berlangsung di Pusat Pameran Nasional, pemain perseorangan Ng Tze Yong menewaskan pemain Pakistan Muhammad Irfan Saeed Bhatti, 21-10, 21-9, dan akan berhadapan Ajfan Rasheed, selepas pemain Maldives itu mengalahkan pemain dari Ghana Ahmad Abdul Samad 21-16, 21-14.
Pemain profesional perseorangan wanita Goh Jin Wei pula, menang mudah ke atas Cindy Etornam Esi Tornyenyorm, 21-3, 21-1 dan akan bertemu Tamisha Janelle Williams dari Barbados selepas pemain itu mengalahkan pemain Maurritius Jemimah Leung For Sang, 21-17, 10-21, 21-19.
Dua pasangan beregu campuran - Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chan Peng Soon-Cheah Yee See juga layak ke pusingan 16, selepas masing-masing mengalahkan Pulltoo Tejraj-Mungrah Ganesha dari Mauritius 21-5, 21-8 dan Kwek Andy Jun Liang-Jin Yujia dari Singapura, 21-8, 21-13.
Kedua pasangan negara itu, masing-masing akan berhadapan dua pasangan dari Australia Lin Ying Xiang-Gronya Somerville dan Jack Yu-Kaitlyn Ea.
Ying Xiang-Somerville pada Khamis mengalahkan Brian Kasirye-Fadilah Shamika Mohamed Rafi dari Uganda, 21-10, 21-6 manakala Yu-Ea menewaskan Tahlia Richardson-Samuel Ricketts dari Jamaica, 21-13, 16-21, 21-8.
Sementara itu Kian Meng yang kemudiannya bergandingan dengan Peng Soon dalam acara beregu juga layak ke pusingan berikutnya selepas menang ke atas pasangan Aatish Lubah-Georges Paul dari Mauritius, 21-12, 21-11.
Pasangan dari Scotland Alexander Dunn-Adam Hall yang menewaskan Georges Paul-Dookhee Kobita dari Mauritius, 21-7, 21-8, akan bertemu Kian Meng-Peng Soon, pada perlawanan seterusnya.
-- BERNAMA
TAG: sukan komanwel, birmingham, pusat pameran national, ng tze yong, goh jin wei
#Sukan Komanwel Birmingham 2022 #Ng Tze Yong #goh jin wei #badminton
;