Badminton: Laluan sukar menanti Zii Jia di Kejohanan Dunia 2023

Bernama
Ogos 10, 2023 00:31 MYT
Pemain di kedudukan ke-13 dunia itu akan menghadapi laluan berliku untuk memburu kejuaraan. - Gambar fail/FB BAM
KUALA LUMPUR: Selepas menampilkan prestasi meningkat di Terbuka Australia minggu lepas, perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia dijangka berdepan satu lagi ujian mencabar, di Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark dari 21-27 Ogos ini.
Berdasarkan undian Persekutuan Badminton (BWF) hari ini, pemain di kedudukan ke-13 dunia itu akan menghadapi laluan berliku untuk memburu kejuaraan, apabila terpaksa membuat perhitungan dengan pemain di kedudukan kelima dunia dari Indonesia Jonatan Christie, pada pusingan pertama berdasarkan undian itu.
Namun tidak mustahil bagi bekas juara Kejohanan Asia 2022 itu, untuk mencipta kejutan susulan peningkatan prestasinya yang ketara dalam ranking dunia, selepas mara ke peringkat separuh akhir Terbuka Australia minggu lepas.
Dalam pada itu, Zii Jia mengakui hanya mempunyai masa yang singkat untuk membuat persediaan untuk Kejohanan Dunia kali ini, memandangkan masa hanya berbaki kurang daripada dua minggu sebelum kejohanan.
"Saya rasa tiada perubahan besar untuk latihan, cuma kekalkan...Saya akan cuba naikkan keyakinan saya tapi, perjalanan masih jauh, ia satu proses besar dn kita perlu bersabar," katanya menerusi rakaman video yang dikongsi kepada media pada Khamis.
Sementara itu, Ng Tze Yong juga berdepan laluan sukar apabila diundi bertemu pemenang pingat gangsa edisi 2022, dari China Zhao Jun Peng.
Namun nasib berbeza bagi beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dilihat mendapat laluan mudah untuk mempertahankan kejuaraan di kejohanan berprestij berkenaan.
Aaron-Wooi Yik yang menerima 'bye' di pusingan pertama, boleh menarik nafas lega apabila dijadual bertemu sama ada gandingan Bulgaria Ivan Rusev-Iliyan Stoynov atau pasangan Australia Jeppe Bay-Lasse Molhede, yang membuat perhitungan di pusingan pertama kelak.
Begitupun, berdasarkan prestasi semasa, pasangan di kedudukan keempat dunia itu masih perlu berwaspada, bagi mengharungi pusingan kedua kerana mereka masih bergelut dengan prestasi tidak menentu, selain masih buntu mengakhiri kemarau kejuaraan dalam Jelajah Dunia musim ini.
Aaron-Wooi Yik tersingkir di suku akhir Terbuka Australia minggu lepas, sebelum ditunjukkan jalan keluar di peringkat yang sama pada Terbuka Jepun.
Pencapaian terbaik pasangan itu musim ini adalah muncul naib juara Terbuka India dan Terbuka Indonesia.
Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah yang mendapat 'bye' di pusingan pertama, dijadual membuat perhitungan sama ada bertemu pasangan Scotland Julie Macpherson-Ciara Torrance atau gandingan Australia Kaitlyn Ea-Gronya Somerville, yang bertemu pada pusingan pertama.
-- BERNAMA
#BWF #Lee Zii Jia #jelajah dunia #pusingan pertama
;