Badminton Kejohanan Dunia: Chong Wei mudah benam wakil Lithuania
Astro Arena
Ogos 11, 2015 16:00 MYT
Ogos 11, 2015 16:00 MYT
Ikon badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Dunia di Jakarta selepas menyingkirkan Kestutis Navickas dari Lithuania hari ini.
Chong Wei, 32, hanya mengambil masa 28 minit untuk menundukkan Kestutis Navickas 21-9 21-13 yang ternyata bergelut menentang bekas pemain No.1 dunia itu.
Meskipun mengalami kecederaan di jari kaki kanannya, Chong Wei tetap mempamerkan aksi bertenaga dengan siri pukulan padu yang kerap kali gagal disambut Navickas. Chong Wei memerlukan 11 minit untuk menamatkan saingan di set pertama.
Sementara itu di set kedua, Navickas menunjukkan sedikit peningkatan sehingga berjaya menyamakan kedudukan 7-7. Bagaimanapun, selepas kedudukan 12-10, Chong Wei tidak membenarkan persaingan rapat itu berlarutan dan dia mengutip mata demi mata sehingga menyempurnakan set kedua dengan 21-13.
Chong Wei bakal berdepan sama ada lawan dari Cuba, Osleni Guerrero atau pemain pilihan ke-12 Marc Zwiebler dari Jerman dalam peringkat seterusnya.