Badminton: Jin Wei mara ke separuh akhir Grand Prix Emas Terbuka Thailand

Bernama
Oktober 7, 2016 07:48 MYT
Jin Wei akan bertemu pemain Thailand, Busanan Ongbamrungphan. - Gambar fail
Juara remaja dunia, Goh Jin Wei meneruskan aksi cemerlang selepas melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Thailand yang berlangsung di Stadium Nimibutr di Bangkok, pada Jumaat.
Pemain berusia 16 tahun itu menewaskan rakan sepasukan, Ho Yen Mei 21-17 dan 21-13 pada suku akhir, menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF), www.bwfbadminton.org.my.
Jin Wei akan bertemu pemain Thailand, Busanan Ongbamrungphan selepas pilihan ketiga itu terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan pemain Singapura, Xiaoyu Liang 20-22, 21-13 dan 21-12.
Pasangan beregu profesional negara, Lim Khim Wah/Ong Jian Guo juga mara ke separuh akhir selepas menundukkan pilihan ketiga, Bodin Isara/Nipitphon Phuangphuapet dari Thailand dengan 21-15, 17-21 dan 21-14.
Pasangan beregu campuran kedua negara, Tan Kian Meng/Lai Pei Jing juga mara ke separuh akhir menewaskan beregu pilihan keenam, Liao Min Chun/Chen Hsiao Huan dari Taiwan 21-15, 19-21 dan 21-11.
#badminton #goh jin wei #pemain badminton negara #Terbuka Thailand
;