Badminton: Jin Wei jadi pertaruhan negara
Astro Arena
Jun 21, 2016 17:11 MYT
Jun 21, 2016 17:11 MYT
PEMAIN remaja sensasi negara, Goh Jin Wei, menjadi pertaruhan Malaysia untuk menamatkan kemarau dalam Kejohanan Remaja Asia di Bangkok, bulan depan.
Kali terakhir Malaysia memiliki gelaran juara remaja Asia adalah menerusi perseorangan lelaki, Soo Teck Zhi, pada 2013.
Sejak itu, Malaysia tenggelam di sebalik skuad China yang mendominasi dua edisi berikutnya, termasuk menyapu bersih setiap ketegori tahun lalu.
Bagaimanapun, Malaysia berani untuk mencanang Jin Wei sebagai juara berdasarkan prestasi semasanya.
“Kami telah meletakkan tekanan kepada Jin Wei tetapi dengan prestasi semasanya, dia mampu membawa pulang pingat emas,” kata jurulatih skuad remaja bawah 16 tahun, Kwan Yoke Meng.
Yoke Meng juga tetap waspada dengan strategi China yang menampilkan bakat baru di Bangkok nanti.
Setakat ini, kuasa besar dunia itu belum menunjuk taring dalam mana-mana kejohanan remaja bagi musim ini.
"Tahun ini, China tidak mengambil bahagian dan kami masih lagi tidak dapat melihat kebolehan pemain remaja mereka," tambahnya.