Badminton Dunia BWF: Jin Wei mara ke pusingan kedua

Astro Arena
Ogos 21, 2023 09:48 MYT
Goh Jin Wei, tidak berdepan sebarang masalah apabila berjaya melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia. - Gambar fail/BERNAMA
PEMAIN perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei, tidak berdepan sebarang masalah apabila berjaya melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia, sebentar tadi.
Berdepan Vivien Sandorhazi buat kali pertama dalam kerjayanya, Jin Wei pada mulanya merisaukan peminat sukan badminton negara apabila kelihatan seperti mengalami kecederaan selepas terjatuh di awal permainan.
Sandorhazi mengambil kesempatan dengan meningkatkan asakan ke atas lawannya, untuk mendahului 9-7 di set pertama.
Bagaimanapun, sedikit demi sedikit Jin Wei mengumpul mata daripada kesilapan lawannya untuk mendahului sebanyak tiga mata.
Dan satu lagi kesilapan Sandorhazi memberi kelebihan buat wakil negara itu menutup set pertama dengan kemenangan 21-18.
Set kedua menyaksikan Jin Wei cemerlang membuka jarak lapan mata untuk mendahului 9-1.
Dan meskipun Sandorhazi masih mampu bangkit untuk mengutip 14 mata lagi, jurang dengan Jin Wei terlalu besar sekali gus pemain di ranking ke-34 dunia itu melangkah ke pusingan kedua dengan keputusan 21-15. - Stadium Astro
#BWF #Badminton Dunia #goh jin wei #perseorangan wanita