Badminton: Biar jurulatih 'pening' hadapi Olimpik Paris 2024 - Rexy

Bernama
Mei 15, 2024 17:35 MYT
Berbaki kira-kira 10 minggu sebelum Paris 2024, Rexy 'meletakkan bebanan' kepada para jurulatih untuk menanggung tekanan serta mencurahkan segala ilmu dan keringat pada sesi latihan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky mahu para pemain tenang menghadapi cabaran beraksi pada Sukan Olimpik 2024 di Paris yang dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
Berbaki kira-kira 10 minggu sebelum Paris 2024, Rexy sebaliknya 'meletakkan bebanan' kepada para jurulatih untuk menanggung tekanan serta mencurahkan segala ilmu dan keringat pada sesi latihan bagi membantu anak buah mereka beraksi cemerlang dalam temasya sukan empat tahun sekali itu.
"Biarlah kami pening dan saya juga telah arahkan jurulatih terlibat supaya mereka yang mesti penat, usah biarkan pemain penat sebaliknya bantu mereka memberikan permainan terbaik di pentas Olimpik nanti," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata pihaknya mengambil beberapa inisiatif membantu pemain lebih fokus termasuk mengehadkan sesi bersama media di ABM Bukit Kiara serta merancang mengadakan bengkel bersama pakar psikologi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Frederick Tan di Kuching, Sarawak, bulan depan.
Sebelum ini, media dibenarkan untuk membuat liputan sesi latihan pemain pada setiap Selasa dan Jumaat namun BAM telah mengehadkan sesi tersebut kepada setiap Rabu sehingga berakhirnya Sukan Olimpik 2024.
Rexy berkata rata-rata pemain memberikan respons positif terhadap langkah terbaharu diambil barisan kejurulatihan dan berharap mereka mampu memberi komitmen tinggi untuk mengharumkan nama negara pada saingan yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena.
"Selepas pulang dari Terbuka Indonesia dari 4 hingga 9 Jun nanti, pemain akan ke Sarawak di mana kita tidak ada langsung aktiviti badminton sebaliknya membantu pemain melepaskan tekanan setelah beraksi dalam tiga kejohanan sebelumnya," katanya.
Pemain di bawah naungan BAM yang telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 ialah juara beregu lelaki dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah dan beregu campuran nombor satu negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Selain itu dua wakil profesional iaitu pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia dan pemain perseorangan wanita Goh Jin Wei turut melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024.
Sementara itu Rexy enggan mengulas mengenai iklan kekosongan jawatan jurulatih perseorangan lelaki (skuad senior) yang dipaparkan dalam laman Facebook semalam, sebaliknya beliau menyerahkan kepada Pengarah Pentadbiran BAM Michelle Chai bagi menjawab segala pertanyaan mengenai perkara itu.
Bagaimanapun Michelle ketika dihubungi Bernama menjelaskan langkah tersebut merupakan proses biasa diamalkan pihaknya sekali gus membantu mereka menghadapi segala kemungkinan pada masa depan.
Paparan iklan kekosongan jawatan itu menimbulkan tanda tanya ramai mengenai nasib tiga jurulatih perseorangan lelaki negara iaitu Hendrawan, Datuk Tey Seu Bock dan James Chua.
Kontrak Hendrawan dan Seu Bock akan tamat hujung tahun ini manakala James pula berakhir pada Julai ini.
-- BERNAMA
#badminton #BAM #Sukan Olimpik Paris 2024 #Lee Zii Jia #Rexy Mainaky
;