Badminton: Beri tumpuan untuk Sukan Olimpik - Seu Bock

Bernama
Mei 23, 2016 07:49 MYT
Pemain badminton negara selamat tiba di KLIA pada malam Isnin. - Foto Bernama
Pemain badminton lelaki negara terutama Datuk Lee Chong Wei perlu bangkit serta bersemangat dalam mencapai sasaran meraih pingat emas pada Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil, Ogos ini.
Bagi jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock, beliau tidak mahu pemain berputus asa dan menasihatkan anak buahnya mengambil iktibar serta berusaha dalam penampilan akan datang.
Seu Bock berkata jadual kejohanan yang padat menjadi punca kekalahan skuad negara kepada Denmark pada aksi separuh akhir Piala Thomas di Kunshan, China.
"Mungkin tahun ini, banyak tekanan kerana jadual kejohanan yang padat. Persediaan untuk Piala Thomas juga singkat.
"Peluang pasukan ke final memang ada. Semua pemain berasa tekanan. Iskandar Zulkarnain juga bermain dengan bagus, tetapi mungkin beliau terlalu memikirkan mahu menang dengan cepat.
"Selepas ini, fokus pemain adalah pada Sukan Olimpik," katanya kepada pemberita selepas tiba bersama-sama skuad negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam Isnin.
Dalam pada itu, Seu Bock berkata semua pihak perlu menerima keputusan Chong Wei yang tidak mahu beraksi pada kejohanan Piala Thomas 2018.
"Fokus Chong Wei sekarang untuk Sukan Olimpik. Kita perlu mengambil kira faktor usia dan kecederaan, jika tiada kecederaan mungkin dia okay.
"Pada masa ini, biarlah beliau fokus untuk Sukan Olimpik," katanya.
Denmark mencipta sejarah apabila menjulang Piala Thomas selepas menewaskan Indonesia 3-2 pada perlawanan akhir, semalam.
Kali terakhir Malaysia muncul juara Piala Thomas adalah pada 1992.
#Lee Chong Wei #Olimpik Rio #pemain badminton negara #Sukan Olimpik #Tey Seu Bock
;