Badminton: BAM rakam ucapan takziah kepada keluarga 'Uncle Yap'

Bernama
Julai 6, 2024 19:46 MYT
Mendian Yap pernah menjadi pegawai teknikal kanan badminton dan bertugas sebagai pengadil kejohanan antarabangsa utama termasuk Olimpik, Sukan Asia, Sukan SEA. - FB BAM
KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas pengadil Yap Tee Loy, yang meninggal dunia semalam pada usia 83 tahun.
BAM dalam catatan di Facebook hari ini menyebut Yap, atau lebih mesra dikenali sebagai 'Uncle Yap' pernah menjawat Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) dari 1986 hingga 1997 di bawah Datuk Punch Gunalan.
"BAM mengucapkan takziah kepada keluarga, teman dan rakan sekerja Yap. Sumbangan beliau dalam sukan badminton tidak akan dilupakan," menurut catatan itu.
Yap pernah menjadi pegawai teknikal kanan badminton dan bertugas sebagai pengadil kejohanan antarabangsa utama termasuk Olimpik, Sukan Asia, Sukan SEA selain acara Persekutuan Badminton Dunia, Badminton Asia dan BAM dalam kerjaya yang menjangkau selama empat dekad.
Pada 2000, Yap menyertai BAM sebagai Pengurus Kejohanan dan pegawai bertanggungjawab bagi pegawai teknikal BAM, jawatan yang disandangnya hingga 2009.
-- BERNAMA
#Persatuan Badminton Malaysia #bekas pengadil badminton #Yap Tee Loy #ucapan takziah #Uncle Yap #meninggal dunia
;