Badi gelaran juara bertahan berterusan, Jerman pulang awal

Ian Johan Ariff
Jun 27, 2018 06:01 MYT
Reaksi pemain-pemain Jerman, Mario Gomez, Mats Hummels, Joshua Kimmich dan Thomas Muller pada perlawanan antara pasukan itu dan Korea Selatan dalam aksi Kumpulan F di Kazan Arena, Kazan, Rusia, 27 Jun, 2018. REUTERS
KOREA 2 JERMAN 0
Jerman yang turun ke Piala Dunia FIFA Rusia 2018 selaku juara bertahan, tersingkir dari kejohanan di peringkat kumpulan selepas kalah 2-0 kepada Korea Selatan.
Jerman turun ke Kazan Arena mencari kemenangan masih belum terselamat dari penyingkiran kerana tiga pasukan dalam kumpulan F termasuk Sweden dan Mexico berpeluang cerah untuk mara.
Bagaimanapun Korea mempamerkan disiplin yang tinggi di bahagian pertahahan untuk menafikan pelbagai cubaan penyerang Jerman untuk mencari gol.
Peluang hadir kepada Jerman untuk berada di depan bermula dengan tandukan lemah Sami Khedira pada minit ke-14 yang tidak memberi sebarang masalah kepada penjaga gol Korea, Hyun-Woo Cho untuk mendakap kemas bola.
Jerman meneruskan penguasaan permainan dalam babak kedua dan terlepas peluang untuk berada di depan atas ketangkasan Woo Cho yang menyelamatkan tandukan Leon Goretzka.
Penyudah yang lemah sekali menghampakan penyokong Die Mannschaft ini apabila penyerang muda, Timo Werner gagal menyepak masuk bola ke dalam gawang susulan sepakan sudut pada minit ke-64.
Kroos yang menjaringkan gol kemenangan Jerman ke atas Sweden juga mempunyai mensia-siakan beberapa peluang untuk Jerman, antaranya tendangan lemah pada minit ke-88 yang mudah diselamatkan Woo Cho.
Kegagalan itu nyaris membawa padah apabila serangan balas Korea memaksa penjaga gol Jerman, Manuel Neuer menyelamatkan keadaan.
Drama sebenar bermula dalam masa kecederaan apabila Kim Young-Gwon menjaringkan gol pertama Korea menyebabkan pertahanan Jerman terpaku akibat mengharapkan dia berada pada posisi ofsaid.
Walaupun penjaga garisan memberi isyarat Young-Gwon berada pada posisi ofsaid, pengadil merujuk VAR dan mengesahkan gol tersebut kerana pemain Guangzhou Evergrande itu menerima bola daripada pemain Jerman, Kroos dan bukan rakan sepasukannya.
Tekanan makin memuncak buat pasukan Jerman kerana Sweden sudahpun mendahului 3-0 dalam perlawanan menentang Mexico, menyaksikan mereka perlu menang besar dalam masa yang singkat untuk layak.
Matt Hummels terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan lima minit dalam masa kecederaan apabila tandukannya di hadapan gol melewati palang.
Korea akhirnya menamatkan saki baki perjuangan Jerman dengan gol kedua tujuh minit dalam masa kecederaan, apabila Son Hyeung-Min menolak bola ke dalam gawang yang tidak dikawal, apabila Neuer membuat keputusan untuk membantu bahagian serangan bagi mencari gol penyamaan.
Ia merupakan kali pertama sejak 1938, Jerman Barat atau gabungan negara Jerman tidak melepasi peringkat kumpulan, malah lebih buruk lagi, menamatkan saingan kumpulan F di tangga tercorot.
Sejak Perancis muncul juara pada 1998, tiada juara yang berjaya melepasi peringkat kumpulan, (kecuali Brazil pada 2006) ini termasuk Itali tersingkir pada 2010 dan Sepanyol pada 2014.
Tonton: Korea Selatan 2-0 Jerman
#Awani FIFA #Jerman #Korea Selatan #Leon Goretzka #Manuel Neuer #Raya Bola 2018 #Toni Kroos
;