Badang negara tiup semangat kontinjen negara
Bernama
April 5, 2018 05:37 MYT
April 5, 2018 05:37 MYT
Badang negara meniupkan semangat kontinjen negara pada hari pertama pertandingan dengan meraih dua butir emas dalam acara angkat berat pada temasya Sukan Komanwel 2018 di sini pada Khamis
Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad mencipta sejarah apabila meraih emas pertama untuk negara dalam kategori 56kg dengan jumlah angkatan 261kg.
Lebih manis lagi apabila beliau berjaya memecah rekod kejohanan dengan angkatan 117kg dalam acara snatch, sekali gus mengatasi rekod rakan senegara, Amirul Hamizan Ibrahim yang merakamkan angkatan 116kg pada edisi 2010 di New Delhi.
Di Velodrom Anna Maeres, skuad berbasikal trek negara gagal menyerlah apabila terkandas di pusingan kelayakan manakala atlet berbasikal para Muhamad Afiq Afify Rizan sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat acara tandem (B) 1km ujian masa.
Pasukan pecut lelaki negara yang pada awalnya berpeluang merebut pingat gangsa bagaimanapun terpaksa akur dengan catatan masa yang dibuat oleh tuan rumah selepas melakukan perlumbaan semula yang menyebabkan pelumba negara tersingkir daripada pusingan penentuan tempat ketiga dan keempat.
Khabar duka juga diperolehi daripada kem berbasikal negara apabila jurulatih kebangsaan John Beasley memaklumkan Mohd Azizulhasni Awang hanya akan beraksi dalam acara keirin ekoran keadaan kesihatan yang kurang memuaskan.
Menurutnya, bekas juara dunia keirin itu terpaksa menarik diri daripada acara pecut dan hanya turun beraksi dalam acara keirin serta berharap pelumba yang digelar 'The Pocket Rocketman' itu mampu melakukan sesuatu hari ini.
Kem skuasy yang diketuai Datuk Nicol David pula menyaksikan enam daripada tujuh pemain yang turun beraksi pada Khamis mara ke peringkat seterusnya.
Selain Nicol, dua lagi pemain perseorangan wanita S. Sivasangari dan Aifa Azman turut mara manakala dalam acara perseorangan lelaki hanya Ng Eain Yow terkandas di pusingan pertama ekoran kejang ketika di set penentuan menentang Rex Hedrick dari Australia.
Skuad badminton negara diketuai Datuk Lee Chong Wei membuka gelanggang dengan kemenangan mudah 5-0 ke atas Ghana dalam acara berpasukan.
Hari ini, atlet Malaysia akan meneruskan pemburuan pingat dan tumpuan pastinya terarah kepada Azizulhasni serta seorang lagi badang negara, Muhammad Erry Hidayat dalam kategori 69kg.
-- BERNAMA
#angkat berat
#Azizulhasni Awang
#Azroy Hazal Wafie
#Lee Chong Wei
#Nicol David
#Skuasy
#Sukan Komanwel