Badan antarabangsa puji usaha kemampanan Olimpik Paris 2024

Bernama
Julai 22, 2024 08:45 MYT
Sejak 2021, Jawatankuasa Penganjur Paris 2024 telah bekerjasama dengan IOC dan OECD untuk mencipta petunjuk prestasi utama (KPI) bagi menilai impak jangka panjang Sukan Olimpik. - Foto AP
PARIS: Sukan Olimpik Paris menetapkan piawaian baharu dan meningkatkan piawaian antarabangsa sedia ada dalam aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar, menurut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Ahad.
"Meningkatkan kemampanan Sukan Olimpik dan memastikan ia memberi manfaat yang berkekalan untuk penduduk tempatan sebelum acara adalah antara keutamaan utama IOC," lapor Xinhua memetik Pengarah Kemampanan IOC Marie Sallois dalam satu sidang media.
"Paris 2024, sebagai edisi pertama sukan yang sejajar dengan perancangan strategik kami Agenda Olimpik 2020, menetapkan piawaian baharu untuk acara sukan di Perancis dan seterusnya serta panduan pragmatik untuk penganjur acara sukan pada masa depan," katanya.
Berdasarkan Saranan 2018 mengenai Acara Global dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) telah menerbitkan panduan untuk membantu penganjur acara memantau dan menilai impak sosial, ekonomi dan alam sekitar acara mereka.
Sejak 2021, Jawatankuasa Penganjur Paris 2024 telah bekerjasama dengan IOC dan OECD untuk mencipta petunjuk prestasi utama (KPI) bagi menilai impak jangka panjang Sukan Olimpik.
IOC kini mewajibkan hos Sukan Olimpik pada masa hadapan untuk menggunakan garis panduan OECD, memastikan penilaian yang konsisten dan boleh dipercayai bagi setiap edisi.
"Acara sukan utama seharusnya meninggalkan kesan lebih daripada sekadar kenangan indah. Ia boleh meninggalkan warisan sosial dan alam sekitar yang kukuh," kata Mathias Cormann, setiausaha agung OECD.
Kami gembira bahawa Perancis dan IOC telah menerima Saranan 2018 mengenai Acara Global dan Pembangunan Tempatan serta panduan mengenai cara melakukannya, menggunakan Sukan Olimpik untuk mencipta peluang pekerjaan dan menerajui kaedah pembinaan rendah karbon, katanya.
-- BERNAMA
#olimpik paris 2024 #piawaian baharu #usaha kemampanan #Marie Sallois