BAC: Tang Jie-Ee Wei ke pusingan kedua, Kian Meng-Pei Jing terkandas
Bernama
April 26, 2023 13:10 MYT
April 26, 2023 13:10 MYT
KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membuka kempen Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan langkah kanan selepas menewaskan beregu Korea Selatan Kim Won Ho-Jeung Na Eun.
Gandingan negara di ranking ke-22 itu mengejutkan pasangan ke-10 dunia dengan kemenangan mudah 21-14, 21-13 dalam 34 minit pertarungan berlangsung di Dewan Tertutup Rashid bin Hamdan, Kelab Al Nasr.
Tang Jie-Ee Wei dijadual berdepan wakil Indonesia Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti pada pusingan kedua, yang terdahulu mengenepikan pasangan Jepun Kyohei Yamashita-Naru Shinoya 21-17 dan 21-16.
Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang turut mara ke pusingan kedua, bagaimanapun terpaksa bermandi peluh apabila diheret bermain dalam set penentuan sebelum menewaskan Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin dari Taiwan.
Soon Huat-Shevon yang menduduki ranking kelapan dunia dikejutkan apabila tewas set pertama 15-21 sebelum bangkit pada set kedua 22-20 sebelum mengenepikan gandingan Taiwan di ranking ke-23 21-15, sekali gus menempah pertemuan dengan pasangan ranking ke-51 dari China Cheng Xing-Chen Fang Hui.
Namun, nasib berbeza buat satu lagi beregu campuran negara apabila Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan terpaksa menamatkan perjuangan pada edisi kali ini selepas tewas kepada wakil China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-17, 21-13.
-- BERNAMA