BAC 2023: Zii Jia tewas pusingan pertama
Sinar Harian
April 27, 2023 08:45 MYT
April 27, 2023 08:45 MYT
MISI pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia untuk mempertahankan kejuaraan Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 tidak kesampaian apabila tewas dalam aksi pusingan pertama.
Pemain pilihan ketiga kejohanan itu tewas straight set dalam masa 39 minit kepada pemain Hong Kong, Ng Ka Long Angus 19-21, 16-21 di Dewan Tertutup Rashid bin Hamdan, Kelab Al Nasr di Al Nasr di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
Keputusan itu menyaksikan Ka Long yang berstatus pemain nombor 17 dunia menempah slot berdepan pemain Jepun, Kanta Tsuneyama bagi perebutan tiket ke suku akhir.
Sebagai rekod, Zii Jia tampil ke kejuaraan itu dengan reputasi tinggi selepas mengungguli edisi Manila 2022 di Filipina setelah menjinakkan pemain Indonesia, Jonatan Christie, 21-17, 23-21 dalam perlawanan akhir.
Pada set pertama, Zii Jia selesa mendahului 7-2 namun Ka Long bangkit memimpin permainan 15-13 seterusnya menyaksikan kedua-duanya saling berkejar mata untuk kedudukan 20-17, sebelum kemenangan 21-19 berpihak pemain Hong Kong tersebut.
Set kedua, kedua-dua pemain saling berkejar mata untuk kedudukan 10-6, sebelum Ka Long memimpin permainan 14-10 kemudiannya mengungguli perlawanan dengan 21-16.
Terdahulu, seorang lagi pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong tewas kepada pemain Hong Kong, China Lee Cheuk Yiu juga straight set 21-17, 21-18.
Sementara itu, pemain Singapura, Loh Kean Yew meneruskan kemaraan selepas menewaskan Lakshya Sen dari India 21-7, 23-21. - Sinar Harian