Azzmi terkejut Mat Don cium kakinya

Sinar Harian
September 1, 2018 10:16 MYT
Azzmi (kanan) terkejut dengan tindakan Liridon. - Foto Sinar Harian
PENGENDALI Kedah, Azzmi Abd Azmi terkejut dengan tindakan pemainnya, Liridon Krasniqi yang mencium kakinya selepas menjaringkan gol ketiga di Stadium Darul Aman semalam.
Liridon atau lebih dikenali sebagai Mat Don berjaya membantu Kedah menjaringkan satu gol untuk mengatasi JDT 3-1 sekaligus melonjakkan pasukan ke kedudukan kedua Kumpulan C Piala Malaysia 2018 dengan lapan mata selepas lima perlawanan.
Menurut Azzmi, beliau menyifatkan apa yang dilakukan pemain import tersebut sebagai tindakan spontan kerana sangat gembira menjaringkan gol ketiga Lang Merah pada minit ke-94.
"Saya tidak terfikirpun Mat Don akan buat macam itu. Tindakan itu spontan. Mungkin beliau hargai saya selepas ambil alih tugas melatih pasukan ini.
"Mungkin komunikasi yang baik buat dia selesa bekerja dengan saya. Saya selalu bercakap dan menyampaikan apa yang saya rasa betul tentang bolasepak ini kepada semua pemain dan syukur mereka semua boleh menerima pandangan saya. Saya masih baru dalam bidang kejurulatihan ini," katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.
Azzmi berkata, beliau kerap berkomunikasi dengan semua pemain dari semasa ke semasa terutamanya mereka yang masih lagi dalam proses pemulihan kecederaan.
Jelasnya, semua pemain turut memberi sokongan penuh kepada beliau baik semasa waktu latihan dan juga pada perlawanan sebenar selain tidak membezakan mana-mana pemain.
"Semua pemain adalah sama. Pada saya suasana yang harmoni dalam pasukan adalah sangat penting. Perkara ini yang saya sangat utamakan. Kita mesti hargai setiap usaha pemain dan apabila anda bekerja pasti mendapat hasil yang baik," katanya.
Bagaimanapun Azzmi menjelaskan tugas pasukannya memburu slot suku akhir masih belum tamat dan perlu terus memburu kemenangan bagi aksi akhir Kumpulan C bertemu Kelantan pada 16 September di Kota Bharu.
#Azzmi Abd Azmi #cium kaki #gol #Kedah #Lang Merah #Liridon Krasniqi #Mat Don #Piala Malaysia #Stadium Darul Aman
;