Azzmi Aziz buntu digantung tanpa tali PDRM FC
Astro Arena
Jun 21, 2023 05:45 MYT
Jun 21, 2023 05:45 MYT
BEKAS ketua jurulatih PDRM FC, Azzmi Aziz, dalam kebingungan apabila berikutan statusnya yang digantung tak bertali ketika ini.
Dia menerima notis serta merta bahawa khidmatnya mengemudi skuad The Cops bagi baki saingan Lliga Super 2023 tidak lagi diperlukan.
Menurut Azzmi, pengukur indeks prestasi utama (KPI) dan kecemerlangan pasukan sudah tercapai apabila memacu ke tangga kelapan Liga Super dengan beberapa keputusan mengejut seperti menumbangkan Selangor FC, namun tanpa penjelasan lanjut dia disisihkan.
"Saya tidak tahu apa yang isu yang timbul sampai diberi surat dan direhatkan, tidak perlu melatih pasukan ini dengan serta-merta dan tidak perlu hadir ke padang seperti yang ditulis dalam surat (itu yang) sangat ringkas.
"Saya tidak nampak apa puncanya. Saya harap pemain saya kekal positif kerana saya percaya sudah buat kerja dengan sangat baik apabila saya bermula dengan mereka pada Disember lalu.
"Saya nampak kemajuan yang sangat baik dalam pasukan ini, saya tahu apa yang berlaku dalam pasukan ini daripada segi individu yang meningkat.
"Saya harap ketiadaan saya tidak mengganggu mereka dan doakan mereka akan terus berjaya," katanya.
Justeru, dia berharap kemelut ini diselesaikan segera dengan mendapatkan khidmat nasihat peguam sambil ingin terus memandang ke depan dan bersedia untuk menerima tawaran lain.
"Bahagian saya ini perlu diselesaikan segera. Saya perlu teruskan kerjaya dan tidak boleh digantung tanpa butiran maklumat seperti ini.
"Saya tidak tahu apa yang berlaku.
"Saya perlu jawapan yang konkrit dalam masa terdekat dan yang pastinya saya tidak akan berada di sini (lagi)," katanya.