Azraai Khor dilantik jurulatih baharu Kelantan - Annuar Musa
Bernama
Mac 24, 2015 16:52 MYT
Mac 24, 2015 16:52 MYT
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) hari ini mengumumkan bekas pengendali T-Team Mohd Azraai Khor Abdullah sebagai jurulatih baharu bagi menggantikan George Boateng.
Presidennya Tan Sri Annuar Musa berkata Mohd Azraai akan dibantu oleh Zahasmi Ismail dan Mohamad Sidek Shamsuddin serta perubahan ini berkuat kuasa esok.
"Selepas berunding dan berbincang dengan semua pihak terbabit, pengurusan KAFA berpuas hati bahawa sedikit pengubahsuaian tugas perlu disegerakan.
Ia demi memastikan kesiapsiagaan The Red Warriors (TRW) berada pada tahap terbaik sebelum menjelang bulan April yang cukup mencabar," katanya dalam entri terbaru laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Annuar berkata George Boateng pula dilantik sebagai Pengarah Teknikal pasukan yang bertanggungjawab ke atas semua peringkat kejurulatihan serta pelan pembangunan jangka panjang KAFA.
"Hashim Mustafa pula dilantik sebagai Pembantu Pengarah Teknikal dan Mohd Nafuzi Mahamad Zain dilantik sebagai jurulatih skuad Piala Presiden," katanya.
Boateng dilantik sebagai jurulatih pada 24 April 2014 bagi menggantikan Steve Darby yang dipecat oleh pengurusan pasukan itu.
Sebagai rekod ketika berada di bawah kendalian Boateng, pasukan Kelantan menduduki tangga keenam Liga Super musim lepas dengan pungutan 31 mata selain mara ke peringkat separuh akhir Piala FA.
Pada musim ini, Kelantan mempamerkan aksi hambar dalam saingan Liga Super selepas hanya mampu mencatatkan dua kemenangan dalam lima perlawanan dan kini berada pada kedudukan ketujuh liga dengan tujuh mata.