Azpilicueta laung amaran kepada The Blues

Astro Arena
Januari 26, 2020 08:24 MYT
Reaksi Cesar Azpilicueta dalam perlawanan Piala FA antara Hull City dan Chelsea di Stadium KCOM, Hull, Britain, 25 Jan, 2020. REUTERS.
HULL CITY 1 CHELSEA 2
Cesar Azpilicueta berkata Chelsea hilang kawalan permainan ketika merakamkan kemenangan 2-1 ke atas Hull City dalam saingan Piala FA, dengan mendakwa pemain-pemain terlalu mengutamakan diri sendiri berbanding objektif utama pasukan.
Pemain kelahiran Sepanyol itu beraksi 90 minit berdepan kelab Kejuaraan itu dengan membantu The Blues merakamkan kemenangan 2-1 di tempat lawan.
Chelsea mendominasi 70 minit pertama perlawananan dan seharusnya menambah lagi bilangan jaringan daripada apa yang disumbang oleh Michy Batshuayi dan Fikayo Tomori, tetapi mereka membenarkan Hull melakukan serangan dan hampir dihukum pasukan bawahan itu.
Hull mengurangkan defisit jaringan menerusi Kamil Grosicki, sepakan percumanya terkena Mateo Kovacic hingga gagal ditampan Willy Caballero, menyaksikan Tigers menemui semangat ketika perlawanan berbaki 12 minit.
Hull hampir berpeluang untuk membawa perlawanan ke aksi timbal balik, apabila Chelsea dipaksa mengerah kudrat untuk bertahan sehingga tamat permainan.
"Dengan peluang yang dimiliki, kami tidak boleh dibolosi dan perlu mengawal perlawanan dengan lebih baik," kata kapten Chelsea, Azpilicueta.
"Kami menyedari perlu mempertingkatkan lagi mutu permainan jika mahu melangkah jauh.
"Ia bukan perlawanan pertama di mana kami gagal mengurusnya dengan baik, dan pada penghujung permainan, kami sengsara dalam kotak sendiri. Chelsea perlu memperbaiki kelemahan ini."
Bercakap kepada BT Sport, Azpilicueta menambah, "Terdapat beberapa ketika kami berhenti bermain sebagai sepasukan dan mula mengutamakan aksi individu yang bukannya corak permainan pasukan dan kami telah dihukum.
"Jika kami mahu menang berdepan pasukan terbaik dan berjuang mengejar gelaran, kami perlu memperbaiki mutu persembahan."
#Cesar Azpilicueta #Chelsea #Hull City #Piala FA
;