Azmi Muslim akui jadi mangsa keadaan

Astro Arena
Februari 22, 2019 10:45 MYT
Azmi kesal kerana tiada sebarang khabar dari Ahmad Amizal sebaik pengesahan dilakukan MFL pada Rabu. Foto Instagram
Pemain Perlis Azmi Muslim mengakui dia kini menjadi mangsa keadaan, masih tercari-cari pasukan selepas Singa Utara sah tiada lagi dalam senarai pasukan Liga Perdana musim ini.
Kecewa dan terkilan, hanya itu yang mampu diluahkan Azmi sebaik mendapat berita pengesahan dari penganjur Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Rabu.
Mengakui tertipu dengan janji manis Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie, Azmi terus dirundung malang apabila dia masih tiada pasukan untuk disertai musim ini.
Menurutnya, tempoh 30 hari yang diberikan MFL berkuat kuasa pada Rabu bukan jaminan sebenar memandangkan kebanyakan pasukan sudah memiliki barisan pemain secukupnya.
Azmi turut mengakui tiada sebarang khabar dari Ahmad Amizal, sebaik pengesahan dilakukan MFL, yang disifatkan Azmi sebagai "lepas tangan dan tidak bertanggungjawab."
VIDEO: Perlis disingkir daripada Liga Malaysia musim ini
Pada Rabu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam mengumumkan pihaknya menerusi Ahli Lembaga Pengarah sebulat suara memutuskan untuk membatalkan penyertaan Perlis dalam Liga Malaysia 2019 berkuat kuasa serta merta.
Keputusan itu dicapai setelah mereka meneliti secara terperinci dokumen kewangan yang diserahkan oleh PFA pada 18 Feb lepas, katanya dalam satu kenyataan.
BACA: PFA diberi tempoh seminggu rayu elak penyingkiran dari Liga Malaysia
"Berdasarkan dokumen kewangan berkenaan, Ahli Lembaga Pengarah MFL mendapati sumber pendapatan PFA termasuk daripada penajaan berdasarkan perancangan kewangan mereka tidak mencukupi untuk menguruskan pasukan bersaing dalam Liga Malaysia musim ini," katanya.
Terbaru, Ahmad Amizal dilaporkan berhasrat menemui Pengerusi MFL Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi menjelaskan status sebenar pasukan Perlis.
Mengakui masih terkejut dengan keputusan MFL membatalkan penyertaan Perlis dalam saingan Liga-M 2019, Amizal berkata pertemuan dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu dapat memberi sinar buat skuad Singa Utara untuk membuat kemunculan kembali dalam kempen Liga Premier musim ini.
#Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie #Azmi Muslim #bola sepak #mangsa #MFL #Perlis
;