Azmeer tandatangan kontrak bersama kelab Liga M3

Abd Razak Mohd Ali
Disember 25, 2021 09:35 MYT
Majlis tandatangan kontrak antara Azmeer dan pemilik kelab dari Kuala Kangsar, itu disempurnakan malam tadi. - Astro AWANI
IPOH: Bekas pemain bola sepak Perak dan Kedah, Azmeer Yusof, kembali dari persaraan apabila menandatangani kontrak bersama kelab Liga M3, BRM FC.
Majlis tandatangan kontrak antara Azmeer, 31, dan pemilik kelab dari Kuala Kangsar, itu disempurnakan di sini, malam tadi.
Azmeer mengumumkan persaraan pada Mei tahun lalu kerana ingin menumpukan kepada pondok tahfiz yang dibukanya di samping beberapa perniagaan miliknya.
“Walaupun saya sasarkan tahfiz dalam dua tahun tapi dalam masa setahun sudah siap dan juga segala perniagaan saya, setakat ini Alhamdulillah baik dan setiap perniagaan dah ada orang jaga.
“Oleh itu saya rasa tidak ada apa-apa masalah untuk saya kembali bermain bola sepak,” katanya selepas majlis perasmian jersi dan menandatangani kontrak dengan pasukan itu.
Menurut Azmeer, dia memilih untuk bermain dengan BRM FC kerana tertarik dengan visi dan misi kelab itu walaupun telah berbincang dengan beberapa pasukan lain.
Pemain pertahanan itu mengakui walaupun pernah mengeluarkan kenyataan untuk bermain secara percuma dan bersedia menjadi penaja, pihak pengurusan kelab masih mahu membayar gajinya, seperti pemain yang lain.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif BRM FC, Ghafari Nasir berkata, mereka mensasarkan untuk menjuarai Liga M3 2022, sekaligus naik ke saingan Liga Perdana.
Menurutnya, sasaran itu mampu dicapai dengan kehadiran Azmeer serta beberapa bekas pemain Perak yang dilatih bekas jurulatih skuad Piala Presiden Perlis, Manja Man.
Manja pula yakin, berdasarkan komitmen semua pihak, khususnya para pemain, BRM FC mampu pergi lebih jauh.
#bola sepak #Azmeer Yusof #BRM FC #kontrak
;