Azlan tabik kemahuan tinggi Nicol
Astro Arena
Februari 23, 2019 18:08 MYT
Februari 23, 2019 18:08 MYT
AZLAN ISKANDAR menghormati langkah yang diambil ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, yang memutuskan untuk bersara Jun depan setelah dua dekad mewarnai dunia skuasy.
Meskipun hasrat persaraan itu sebenarnya sudah berlegar sejak satu setengah yang lalu, Nicol hanya meluahkan hasrat itu Selasa lalu.
Harus ia satu keputusan yang amat perit, tetapi Azlan, 37, yang pernah menduduki kelompok 10 terbaik dunia sebelum menggantung raket di kemuncak karier, yakin langkah Nicol itu sudah difikirkan masak-masak.
"Lambat-laun, atlet perlu menghadapi pengakhiran kariernya.
"Bagi Nicol, hidup perlu diteruskan dan kalau asyik menoleh ke belakang, ia akan menyekat perjalanan anda (dalam hidup)," katanya dalam temu bual Nadi@1, hari ini.
"Apabila Nicol melakukan sesuatu perkara, dia akan melakukannya 100 peratus dan adalah penting untuk mempunyai perancangan selepas persaraan."
Dedah Azlan, menjadi atlet profesional mempunyai cabaran hebat, khususnya bagi sukan skuasy yang ketika itu masih dalam pembangunan di Malaysia.
"Saya terlibat dengan skuasy sejak umur 12 tahun dan saya sememangnya sudah menetapkan untuk bersara pada usia 30 tahun dan saya melakukannya.
"Bayangkan ketika bergelar atlet, kami perlu menginap di hotel selama 30 minggu dalam setahun.
"Saya menyaksikan ada rakan seperjuangan yang masih tinggal di hotel biarpun sudah beranak-pinak, saya tidak mahu menjadi seperti itu," katanya.
Biarpun memahami situasi Nicol, Azlan mengakui atlet kelahiran Pulau Pinang itu masih berkemampuan untuk beraksi di pentas tertinggi kerana dia seorang atlet yang amat berdisiplin.
"Sikapnya tetap sama, tetap berdisiplin dan komited sejak kami beraksi bersama-sama dalam Kejohanan Skuasy Remaja di Hong Kong -- kejohanan antarabangsa pertama membabitkan Azlan yang berumur 13 tahun ketika itu manakala dan Nicol setahun lebih muda daripadanya.
"Sebab itulah dia kekal di puncak dunia dalam tempoh sembilan tahun.
"Ketika melihat rankingnya terus merosot, saya turut berasakan keperitannya," tambahnya.
Dalam masa yang sama, Azlan berharap pengalaman dan sentuhan Nicol tidak diabaikan kerana banyak yang boleh ditawarkannya berlandaskan portfolionya sebagai atlet konsisten kerana mengamalkan disiplin tinggi.