Azizulhasni tunai janji kepada keluarga, Paris 2024 terakhir

Bernama
Ogos 11, 2024 16:02 MYT
AZIZULHASNI: "Jika rakyat Malaysia mahukan emas, bayangkan saya, saya mahukannya mungkin seribu, sejuta kali ganda." - Bernama
PARIS: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang mungkin tidak akan meneruskan tempoh empat tahun lagi untuk menebus impian pingat emasnya di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Bercakap kepada Bernama di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines di sini, pelumba berusia 36 tahun itu berkata beliau berjanji kepada keluarganya bahawa Paris 2024 akan menjadi sukan Olimpik terakhirnya selepas menjalani pembedahan jantung terbuka pada April 2022.
"The Pocket Rocketman" berkata, walaupun beliau boleh terus bersaing hingga LA28 dengan menjaga tubuh badannya dengan baik, beliau merasakan keperluan untuk berehat selepas menghadapi tekanan dan cabaran dalam sukan itu selama hampir dua dekad dan ingin menyerahkan baton kepada generasi seterusnya.
"Walaupun akan berusia 40 tahun, jika menjaga badan dengan baik, saya tahu pelan tindakan, apa yang perlu dilakukan, memang susah, tapi saya boleh lakukannya.
"Tapi selepas pembedahan jantung, ibu, isteri, dan anak-anak saya memaksa saya untuk bersara dan saya sudah berjanji Paris adalah Sukan Olimpik terakhir saya.
"Jadi, saya tidak tahu kalau mereka bagi (untuk teruskan), tapi sudah terlalu lama. Pada satu ketika, saya masih mahu teruskan ada semangat dalam diri tetapi saya percaya pada satu ketika perlu melangkah ke belakang juga. Mungkin akan berlumba untuk satu atau dua tahun lagi," katanya.
Semalam, Azizulhasni tidak dapat meneruskan saingan di Paris 2024 selepas dibatalkan penyertaan pada pusingan pertama acara keirin akibat kesalahan melintas pacer.
"Setakat ini saya belum ada pelan lengkap... saya ada banyak perancangan tapi saya cuma mahu berehat, meluangkan masa bersama keluarga dan relaks dahulu. Bila balik ke Malaysia, akan duduk berbincang semula," katanya.
Azizulhasni, yang memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana menghampakan harapan mereka untuk meraih pingat emas sulung, berkata beliau amat terkesan daripada sesiapa sahaja disebabkan insiden malang tersebut.
"Rakyat Malaysia memang sedih, kecewa, ada yang mungkin marah, saya faham tapi bayangkan saya, tentang diri saya. Jika rakyat Malaysia mahukan emas, bayangkan saya, saya mahukannya mungkin seribu, sejuta kali ganda.
"Saya yang bekerja keras, mewakili Malaysia selama bertahun-tahun, bekerja keras untuk melayakkan diri dan persiapan semua dengan kesukaran yang kami lalui. Tetapi ini adalah sebahagian daripada sukan," katanya.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata beliau bersemangat untuk membantu atlet elit, meningkatkan atlet muda atau sebagai jurulatih tetapi belum ada rancangan lengkap lagi untuk menyumbang kembali kepada sukan, selain menyiapkan ijazah sains senaman klinikalnya.
Sementara itu, anak jati Dungun, Terengganu itu kecewa dengan pengadilan yang tidak konsisten dan dengan cara tertentu perkara-perkara dikendalikan di peringkat antarabangsa sukan tersebut.
Azizulhasni adalah pelumba berbasikal trek terbaik negara setelah memenangi pingat emas keirin pada Kejohanan Dunia 2017.
Beliau juga adalah atlet negara pertama yang memenangi pingat di Sukan Olimpik dalam sukan berbasikal apabila memenangi pingat gangsa keirin di Rio 2016 sebelum merangkul pingat perak di Tokyo 2020.
-- BERNAMA / Vikneswaran Raman
#Azizulhasni Awang #jaguh berbasikal #keirin #olimpik paris 2024 #olimpik terakhir