Azizulhasni tumpu tambah baik 'long sprint' acara keirin

Bernama
Disember 8, 2022 04:00 MYT
Azizulhasni berkata, perlu mengasah tekniknya untuk membuat pecutan panjang dalam acara terbabit untuk memastikan mampu menyaingi pelumba Eropah. - Gambar fail
NILAI: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang bakal memberi tumpuan untuk menambah baik teknik pecutan dalam acara kegemarannya keirin sebelum berentap di Piala Trek Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2023.
Pelumba bergelar 'The Pocket Rocketman' itu berkata beliau perlu mengasah tekniknya untuk membuat pecutan panjang (long sprint) dalam acara terbabit untuk memastikan beliau mampu menyaingi pelumba Eropah dengan mudah dalam misi mengumpul mata untuk ke Sukan Olimpik Paris 2024.
"Kelebihan saya sekarang adalah pecutan pertengahan dan dekat tetapi untuk membandingkan dengan pelumba Eropah yang berbadan besar, kapasiti mereka adalah lebih baik, maka saya perlu memberi lebih tumpuan kepada pecutan panjang.
"Kalau dekat Liga Juara-Juara Trek (TCL), UCI sebelum ini pun saya banyak buat long sprint, ia adalah untuk membina asas kita dalam perlumbaan," katanya kepada pemberita selepas saingan Piala Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) II, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, atlet berusia 34 tahun itu berkata beliau akan memberi fokus kepada perlumbaan Piala Trek Negara-Negara UCI 2023 di Indonesia dan Mesir pada Febuari dan Mac depan sebelum pulang ke tanah air untuk membuat persediaan ke Sukan Olimpik 2024.
Terdahulu, Azizulhasni meraih pingat perak acara keirin lelaki selepas ditewaskan pelumba New Zealand, Samuel Daikin pada Piala MNCF II yang berlangsung di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai.
Mengulas mengenai perlumbaan berkenaan, katanya beliau terpaksa berpuas hati dengan kedudukan berkenaan meskipun telah mengubah strateginya untuk menewaskan Samuel selepas tewas pada acara sama pada Rabu.
Sementara itu, Muhammad Shah Firdaus Sahrom sekali lagi menduduki tempat kedua acara pecut lelaki, juga diketepikan Samuel 2-0 yang menggondol emas.
Tempat ketiga acara tersebut disambar adiknya Muhammad Ridwan Sahrom yang mengenepikan rakan sepasukan Muhammad Fadhli Zonis 2-0 dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.
Piala Presiden MNCF I dan II merupakan kejohanan pertama kali dianjurkan oleh MNCF dalam usaha membantu pelumba kebangsaan mengumpul sebanyak mungkin mata untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Selain New Zealand, antara negara lain yang turut berentap di kejohanan tersebut adalah Hong Kong, Indonesia, Singapura dan Iran.
Mohd Azizulhasni yang kembali ke saingan kompetitif pada Liga Juara-Juara Trek (TCL) UCI selepas pembedahan jantungnya, meraih kedudukan kelapan secara keseluruhan daripada 18 pelumba bagi acara pecut.
-- BERNAMA
#Azizulhasni Awang #UCI #The Pocket Rocketman #long sprint
;